USM KEJURUTERAAN DAN PDRM BINCANG KERJASAMA PERKUKUH KESELAMATAN KOMUNITI KAMPUS

NIBONG TEBAL, 13 November 2025 - Pengarah Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha hari ini menerima kunjungan hormat dari Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintenden Jay January Siowou.
Kunjungan hormat itu diadakan bersempena sesi suai kenal serta perbincangan mengenai potensi kolaborasi antara pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan USM Kampus Kejuruteraan dalam aspek pencegahan jenayah, keselamatan dan kesejahteraan komuniti universiti.
Dalam pertemuan ini, Superintenden Jay January mencadangkan agar slot ceramah khas diadakan bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar Kampus Kejuruteraan USM tentang tanggungjawab sosial, disiplin diri dan peranan mahasiswa sebagai ‘mata dan telinga’ kepada pihak polis.
Beliau dalam pada itu turut menekankan kepentingan komuniti besar Kampus Kejuruteraan untuk menjauhkan diri daripada sebarang kegiatan jenayah agar dapat menjadi contoh teladan kepada masyarakat.


Sementara itu, Profesor Ir. Dr. Mariatti menyambut baik cadangan tersebut dan merakamkan penghargaan kepada pihak IPD Seberang Perai Selatan atas kerjasama berterusan yang telah diberikan dalam pelbagai program universiti selama ini.
“USM amat mengalu-alukan usaha PDRM untuk bersama-sama memperkukuh keselamatan dan kesejahteraan komuniti kampus melalui program berbentuk kesedaran dan Pendidikan,” kata Pengarah Kampus.
Beliau turut mempelawa anggota polis yang berminat untuk meneruskan pengajian di USM sebagai sebahagian daripada usaha universiti memperluas akses kepada ilmu dan pembangunan profesional.
Turut hadir dalam sesi tersebut ialah Ketua Penolong Pendaftar Pejabat Pengarah USM, Mohd Kamil Ashar, ASP Suriati Fakirimara (Ketua Bahagian Pentadbiran), ASP Yuhann Ross Mohamed Yusof (Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah), ASP Rusli Tipu (Ketua Balai Polis Nibong Tebal), serta Inspektor Muhammad Helmi Zainudin (wakil Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti).
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman