PENYELIDIK USM BANGUNKAN ‘SMART SOLDry HOME’ UNTUK HASILKAN KULIT LEMBU KERING BERKUALITI TINGGI

NIBONG TEBAL, 14 November 2025 - Sekumpulan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya membangunkan sistem pengering pintar berasaskan Internet of Things (IoT) yang dinamakan Smart SolDry Home, khusus untuk menghasilkan kulit lembu kering berkualiti tinggi bagi industri makanan.
Sistem inovasi sosial itu dibangunkan oleh sekumpulan penyelidik Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik (PPKM) dengan kerjasama Pusat Racun Negara, Pusat Pengajian Kaji Hayat serta rakan industri Iotegrity Engineering dan Ayden Food Solutions.
Menurut Ketua Projek, Ir. Ts. Dr. Muhammad Hafiz Hassan, sistem berkenaan direka bentuk bagi menggantikan kaedah jemuran terbuka yang memerlukan masa dua hingga tiga bulan dan terdedah kepada debu, serangga serta ketidaktentuan cuaca.
Menurut beliau, Smart SolDry Home menawarkan proses pengeringan tertutup yang lebih bersih dan selamat, selain dilengkapi keupayaan kawalan suhu, kelembapan serta pemantauan berat secara masa nyata menggunakan teknologi IoT.
“Sistem tersebut dapat memendekkan tempoh pengeringan kepada sekitar sebulan, sekali gus meningkatkan produktiviti dan membantu komuniti tempatan memenuhi permintaan pasaran bagi produk seperti ‘Kekel’ (Kulit Lembu) dan Sambal Taun di bawah jenama KHEKHIL’S,” jelas Dr. Hafiz.
“Smart SolDry Home menunjukkan bagaimana teknologi kejuruteraan mekanikal dapat memberi impak secara langsung kepada masyarakat, seterusnya memperkukuh ekonomi komuniti PPDK Puteri Gunung sambil menjadi model inovasi sosial yang boleh diperluaskan lagi pada masa hadapan,” ujar beliau.


Dr. Hafiz turut menyatakan bahawa Projek bernilai RM199,400 itu dibiayai melalui dana MyIS (MyIS-23-1028) di bawah Yayasan Inovasi Malaysia dan merupakan inisiatif kolaboratif antara universiti, industri dan komuniti.
“Malah, produk pengeringan yang dihasilkan melalui sistem ini juga telah memperoleh Pensijilan Halal JAKIM pada Julai 2025 baru-baru ini,” tambah beliau.
Pembangunan prototaip ini dimulakan pada Januari 2024 dan siap pada Mac 2025, yang kemudiannya telah diserahkan kepada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Puteri Gunung, Pulau Pinang.
Penerima manfaat projek, Suriati Hashim dari PPDK Puteri Gunung, berkata inovasi tersebut membuka peluang baharu kepada pelatih untuk mempelajari kemahiran tambahan serta menceburi bidang keusahawanan.
“Sistem Smart SolDry Home sangat membantu para pelatih kami memahami bagaimana bahan yang dianggap buangan boleh diproses menjadi produk bersih, selamat dimakan dan bernilai komersial,” kata beliau.
Menurut Suriati lagi, ia akan turut membuka ruang penjanaan pendapatan kepada komuniti PPDK Puteri Gunung dan pihaknya amat menghargai sumbangan yang diberikan oleh USM dan Yayasan Inovasi Malaysia ini.
Selain Dr. Hafiz, projek ini turut melibatkan ahli pasukan utama yang terdiri daripada Dr. Nur Azzalia Kamaruzaman (Pusat Racun Negara), Dr. Amira Suriaty Yaakop (Pusat Pengajian Kaji Hayat), Ir. Dr. Abdul Haadi Abdul Manap (PPKM) dan Profesor Madya Dr. Khairudin Mohamed (PPKM).
Video berkaitan projek Smart SolDry Home boleh ditonton di pautan berikut: https://youtu.be/nz5F6-BaAP4?si=UEa9JWMAEXinF4VL
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Ihsan Ir. Ts. Dr. Muhammad Hafiz Hassan