USM ANJUR PROGRAM MARASTEM GREENTECH 2.0 BERSAMA MRSM DI PULAU PINANG

NIBONG TEBAL, 14 November 2025 - Universiti Sains Malaysia (USM) melalui inisiatif khas STEM Naib Canselor 2025 menganjurkan program kolaborasi bertemakan STEM iaitu Program MARASTEM GREENTECH 2.0 bersama tiga Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Pulau Pinang.
Menurut Ketua Program, Profesor Madya Dr. Nor Asniza Ishak dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, program ini merupakan salah satu usaha universiti untuk meningkatkan pembudayaan STEM dalam kalangan pelajar sambil memperkukuh kerjasama strategik antara USM dan MARA.


“Program yang berteraskan pendidikan STEM dengan fokus kepada teknologi hijau ini menggabungkan pembelajaran berasaskan projek, teknologi hijau dan pendedahan kerjaya,” kata Dr. Asniza.
Beliau menambah bahawa ia diyakini mampu memberi impak positif kepada 150 pelajar yang terlibat, termasuk motivasi, kemahiran serta aspirasi kerjaya mereka ke arah bidang STEM melalui kaedah pembelajaran interaktif.


“Program ini juga menyediakan platform kepada pelajar untuk meneroka pengetahuan serta mengembangkan kemahiran inovasi dan kreativiti melalui aktiviti STEM secara praktikal atau hands-on,” ujar Dr. Asniza.
Sepanjang program, para pelajar turut dibawa melawat Pusat-pusat Pengajian di Kampus Kejuruteraan serta Aerospace Discovery Centre @ USM Hangar, bagi memberi pendedahan praktikal dan pengalaman pembelajaran secara langsung dalam bidang sains, teknologi dan kejuruteraan.
Antara MRSM yang terlibat dalam program kali ini adalah MRSM Transkrian, MRSM Balik Pulau dan MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi, Kepala Batas.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman