52 PELAJAR KOLEJ MARA KULIM ADAKAN LAWATAN AKADEMIK KE KAMPUS KEJURUTERAAN USM

NIBONG TEBAL - Seramai 52 pelajar sains fizikal dari Kolej MARA Kulim telah mengadakan lawatan akademik ke Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) pada 2 Disember 2025.
Kumpulan lawatan ini disambut oleh Jawatankuasa Promosi Kampus Kejuruteraan USM yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Mohamad Hekarl Uzir, bersama Ketua Penolong Pendaftar Pejabat Pengarah Kampus Kejuruteraan, Encik Mohd Kamil Ashar.
Menurut Pensyarah Kolej MARA Kulim, Anita Baha, lawatan ini bertujuan untuk memberi peluang kepada pelajar mendapatkan maklumat berkaitan program pengajian serta melihat secara langsung suasana pembelajaran di USM.

Beliau berkata, pendedahan awal sebegini penting bagi membantu pelajar membuat persediaan sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah pertama dalam bidang kejuruteraan.
Lawatan tersebut turut disertai dua orang pensyarah pengiring. Sepanjang kunjungan, para pelajar diberikan taklimat dan perkongsian akademik oleh ahli Jawatankuasa Promosi Kampus Kejuruteraan USM.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin & Farid Hamidi Wahab