Skip to main content

DOMINASI JLU DI MALAM VARIASISWA 2025, TAMPILKAN KREATIVITI DAN SEMANGAT KELESTARIAN

WhatsApp Image 2025 12 08 at 16.04.37 1

NIBONG TEBAL, 5 Disember 2025 - Malam Variasiswa 2025 kembali memukau warga USM apabila pelajar Tahun Satu dari semua desasiswa berhimpun untuk menampilkan bakat, kreativiti dan semangat berpasukan.

Variasiswa, pertandingan seni tahunan yang menampilkan sorakan, nyanyian, lakonan, muzik, tarian dan drama, menjadi platform penting bagi mahasiswa baharu untuk menyerlahkan potensi diri, mengekspresikan idea dan menghayati nilai kelestarian universiti.

Buat pertama kalinya sejak penubuhannya dua dekad lalu, edisi tahun ini berlangsung di Kompleks Sukan, Pusat Sukan dan Rekreasi, Kampus Kejuruteraan, bersempena Festival Gegaq 2025, sekali gus membawa pengalaman baharu dan lebih segar kepada peserta serta warga kampus.

WhatsApp Image 2025 12 08 at 16.04.35 WhatsApp Image 2025 12 08 at 16.04.35 1

WhatsApp Image 2025 12 08 at 16.04.34 WhatsApp Image 2025 12 08 at 16.04.35 2

Desasiswa Jaya Lembaran Utama (JLU) mencuri tumpuan apabila berjaya merangkul Johan Keseluruhan Malam Variasiswa 2025, selain turut membawa pulang Anugerah Persembahan Terbaik dan Anugerah Sorakan Terbaik.

Pencapaian ini sekaligus memecahkan rekod kecemerlangan JLU sendiri berbanding edisi-edisi terdahulu, menjadikan tahun ini sebagai kejayaan paling gemilang dalam sejarah penyertaan JLU di Malam Variasiswa.

Dengan tema ‘USM For Future: A Sustainable Journey’, setiap desasiswa menyampaikan naratif tersendiri yang sarat emosi, memperlihatkan kreativiti visual dan budaya sambil menekankan mesej kelestarian universiti.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, yang menegaskan bahawa Variasiswa bukan sekadar pentas hiburan, tetapi medium untuk membentuk mahasiswa yang berani mencuba, kreatif berfikir serta berjiwa kepimpinan.

WhatsApp Image 2025 12 08 at 16.04.36 WhatsApp Image 2025 12 08 at 16.04.37

WhatsApp Image 2025 12 08 at 16.04.38 WhatsApp Image 2025 12 08 at 16.04.37 1

Sementara itu, pengarah Projek, Saudara Ahmad Husaini Shaharuddin, menyuarakan rasa bangga terhadap dedikasi dan kerjasama semua pihak yang menjayakan program ini.

Menurut beliau, kejayaan Malam Variasiswa 2025 adalah hasil usaha bersepadu dan komitmen berterusan jawatankuasa sejak peringkat perancangan hingga malam acara berlangsung dengan gemilang.

“Malam Variasiswa 2025 membuktikan bahawa apabila bakat, keberanian dan nilai kelestarian bersatu, lahirlah generasi yang bukan sahaja hebat berkarya tetapi juga mampu menggerakkan masa depan universiti dan dunia,” ujarnya.

Selain kategori utama, malam itu turut menyaksikan penyampaian Anugerah Freshies Pilihan, menghargai peserta yang menonjol dari segi personaliti, kreativiti dan persembahan di pentas.

Turut hadir adalah Prof. Ir. Dr. Mariatti Jaafar, Pengarah Kampus Kejuruteraan; Encik Shukeri A. Rahaman, Timbalan Pendaftar Kanan BHEPA; Dr. Abdul Rais Abdul Latiff, Pengerusi Majlis Penggawa; serta barisan Dekan, Penggawa, Penolong Penggawa dan pegawai utama universiti.

Teks: Nur Irsalina binti Khadafi (Naib Yang Dipertua 2 MPDJLU) / Foto: Nur Amirah Fauzi, Ameer Iqbal Azman, Exco Media dan Publisiti JLU & Jabatan Media PPSL