Skip to main content

MALAM KEBUDAYAAN KURSUS KOKURIKULUM BERKREDIT, PELAJAR KEJURUTERAAN TAMPIL SERBA BOLEH

DSC 6472

NIBONG TEBAL, 10 Disember 2025 - Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini meriah dengan penganjuran program berkembar melibatkan Pameran Statik dan Demonstrasi Kursus Kokurikulum Berkredit serta Malam Kebudayaan bagi Semester 1 Sidang Akademik 2025/2026.

Program anjuran Kursus Pengurusan Acara (WSC 127) di bawah Pusat Rancangan Kokurikulum (Pusat Ko-k) Kampus Kejuruteraan itu menjadi platform kepada pelajar kejuruteraan untuk mempamerkan hasil pembelajaran kokurikulum merangkumi pelbagai bidang seperti nyanyian, tarian dan seni bela diri.

Melalui Pameran Statik yang berlangsung pada sebelah siang, pengunjung berpeluang melihat demonstrasi dan pameran daripada pelbagai kursus, manakala Malam Kebudayaan pula menampilkan persembahan tarian, muzik, teater serta demonstrasi kemahiran oleh para pelajar di bawah naungan Pusat Ko-k Kampus Kejuruteraan.

DSC 6184 DSC 6175

DSC 6219 DSC 6299

Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha, ketika hadir pada Malam Kebudayaan berkata, program tersebut memperlihatkan kekuatan komuniti kampus dalam melahirkan pelajar kejuruteraan yang memiliki ciri holistik dan kreatif.

“Komunikasi, kepimpinan, kerja berpasukan dan disiplin merupakan antara kemahiran penting yang membentuk identiti mahasiswa USM, manakala kursus-kursus ini pula membantu mengimbangi pencapaian akademik dengan pembinaan karakter mereka,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pusat Rancangan Kokurikulum, Profesor Madya Dr. Mohd Salman Abu Mansor, berkata program berkenaan menjadi wadah penting untuk mengasah bakat baharu dalam kalangan pelajar serta menggalakkan minat terhadap aktiviti bercorak kebudayaan, kemahiran teknikal dan demonstrasi.

DSC 6540 DSC 6592

DSC 6558 DSC 6737

“Pameran Statik, Demonstrasi Kursus dan Malam Kebudayaan menunjukkan pelajar mampu menonjolkan potensi di luar bilik kuliah, di mana nilai integriti, kerjasama dan disiplin dapat dibentuk secara berkesan melalui kursus-kursus kokurikulum,” jelasnya.

Antara kursus yang membuat persembahan pada Malam Kebudayaan ialah PALAPES Darat, PALAPES Udara, PALAPES Laut, Koir, Teater Moden, Senamrobik, Silat dan Gitar.

Turut hadir adalah Pengarah Pusat Rancangan Kokurikulum, Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Hazizan Mohd Hashim, Pengerusi Rancangan Kokurikulum Kampus Kejuruteraan, Profesor Madya Dr. Azam Taufik Mohd Din, serta Penyelaras Kursus Integriti & Antirasuah WAR122, Dr. Mohamad Haniff Junos.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman