Skip to main content

USM PERKUKUH JARINGAN ANTARABANGSA MELALUI KUNJUNGAN DELEGASI TURKIYE KOCAELI UNIVERSITY DAN HACETTEPE UNIVERSITY, TURKIYE KE PPKBSM

WhatsApp Image 2025 12 10 at 09.52.04

NIBONG TEBAL, 12 Disember 2025 - Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh jaringan antarabangsa melalui kunjungan delegasi dari Kocaeli University (KOU) dan Hacettepe University (HU), Turkiye, ke Kampus Kejuruteraan baru-baru ini.

Lawatan rasmi yang berlangsung dari 8 hingga 10 Disember 2025 itu memberi tumpuan kepada pembangunan kerjasama akademik dan penyelidikan, khususnya melibatkan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral (PPKBSM).

Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha yang turut dikunjungi Dr. Davut Ankasut dari HU sempenan lawatan tersebut berkata, USM amat mengalu-alukan kunjungan delegasi daripada KOU dan HU, Turkiye, ke Kampus Kejuruteraan.

Menurut beliau, kunjungan ini bukan sahaja memperkukuh hubungan akademik dan penyelidikan yang telah terjalin, malah membuka ruang baharu untuk meneroka kerjasama lebih strategik dalam bidang elastomer serta bahan termaju.

Sebagai kampus yang memberi penekanan kepada pembangunan teknologi berimpak tinggi, kami amat menghargai komitmen rakan institusi antarabangsa yang bersama-sama meneroka inovasi demi manfaat komuniti global.

Picture1scasdcadsc

”Harapan kami agar pertemuan ini dapat diterjemahkan kepada projek penyelidikan bersama, pertukaran kepakaran serta pembangunan bakat yang mampu memberi nilai tambah kepada ekosistem kejuruteraan di Malaysia dan Turkiye,” ujar beliau.

Kunjungan tersebut yang melibatkan Profesor Dr. Bagdagul Karraggac dari KOU dan Dr. Davut Ankasut dari HU adalah bagi meneroka peluang kerjasama akademik serta strategik antara USM dan kedua-dua universiti terkemuka Turkiye itu.

Ianya juga merupakan sebahagian daripada aktiviti berterusan di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) antara USM-KOU dan USM-HU yang telah dimeterai pada 9 April 2025 di Istanbul, Turkiye, memberi tumpuan kepada bidang elastomer, bahan termaju serta beberapa bidang utama lain berkaitan.

Teks dan Foto: Ihsan Profesor Madya Ir. Dr. Nadras Othman

Suntingan: Siti Faizah Abd Halim