Skip to main content

SESI PERJUMPAAN PENDAFTAR PERKUKUH KOLABORASI DAN KECEMERLANGAN PERKHIDMATAN USM

DSC 7236

NIBONG TEBAL, 18 Disember 2025 - Jabatan Pendaftar Kampus Induk dengan kerjasama Jabatan Pendaftar Kampus Kejuruteraan hari ini telah menganjurkan Perjumpaan Pendaftar Bersama Pegawai dan Penolong Pegawai Tadbir melibatkan Kampus Kejuruteraan dan Pusat Pakar Klinikal dan Penyelidikan Kanser (PPKPK).

Bertempat di Bilik Seminar Rafflesia, Pusat Penyelidikan Sains dan Kejuruteraan (SERC), perjumpaan tersebut bertujuan memperkukuh pemahaman serta memantapkan tadbir urus universiti melalui sesi perkongsian hala tuju dan dasar pengurusan bersama Pendaftar.

Antara intipati utama perbincangan merangkumi aspek penasihatan kepada Ketua PTJ, pematuhan kerahsiaan, pengurusan kewangan, pengukuhan integriti, pengurusan disiplin dan tatatertib, pelaksanaan Sasaran Kerja Tahunan (SKT) dan Sistem Kawalan Kehadiran Fleksi (SKKF), etika dan pakaian bertugas, cuti kecemasan, hubungan sesama staf, penyampaian perkhidmatan, pengoptimuman perjawatan, Laporan Penilaian Prestasi (LPP), tanggungjawab pegawai aset serta beberapa perkara lain berkaitan pengurusan sumber manusia.

DSC 7250 DSC 7260

DSC 7336 DSC 7293

Turut dimaklumkan dalam perjumpaan yang melibatkan penyertaan Ketua Pentadbiran Pusat Tanggungjawab (PTJ), Pegawai Tadbir serta Penolong Pegawai Tadbir dari kedua-dua bahagian tersebut ialah penjenamaan nama baharu Kampus Kejuruteraan dan IPPT, selain hala tuju pelan strategik universiti.

Perjumpaan berkenaan diakhiri dengan sesi soal jawab yang interaktif, sekali gus memberi ruang kepada para peserta untuk mendapatkan penjelasan lanjut serta berkongsi pandangan ke arah pengukuhan kolaborasi dan kecemerlangan penyampaian perkhidmatan Universiti Sains Malaysia.

Turut hadir adalah Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar@Mustapha, Timbalan Pendaftar Kanan Kampus Kejuruteraan, Encik Hafiz Assad Zakaria dan Timbalan Pendaftar PPKPK, Encik Yusmadi Norashid Norashid.

Teks: Mohd Kamil Ashar/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman