PROGRAM KOLABORASI FAMA-JLU USM 2026: MEMPERKASA KEUSAHAWANAN DAN PEMASARAN DIGITAL

NIBONG TEBAL, 14 Januari 2026 - Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Desasiswa Jaya Lembaran Utama (JLU) dengan kerjasama strategik Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah menganjurkan Program JLU Digital Biz yang berlangsung pada 14 hingga 15 Januari 2026 bertempat di Pusat Mahasiswa (PUMA).
Program ini merupakan julungkali diadakan hasil kolaborasi strategik antara USM dan FAMA, sekali gus mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam memperkukuh hubungan kerjasama institusi akademik dan agensi kerajaan ke arah pembangunan modal insan yang holistik dan berdaya saing.
Penganjuran Program JLU Digital Biz dirangka khusus sebagai satu inisiatif untuk memberi pendedahan serta memperkasa pengetahuan dan kemahiran peserta dalam bidang pendigitalan dan keusahawanan, khususnya dalam konteks perniagaan dan pemasaran digital masa kini.



Program ini juga selari dengan aspirasi Universiti Sains Malaysia untuk melahirkan graduan yang berpengetahuan tinggi, berkemahiran praktikal serta mampu menyesuaikan diri dengan keperluan industri dan pasaran kerja yang sentiasa berubah.
Menurut Penggawa Desasiswa Jaya Lembaran Utama, Hasliza Mat Saad, dalam era pendigitalan yang berkembang pesat, penguasaan kemahiran digital dan pemahaman menyeluruh terhadap ekosistem perniagaan digital bukan lagi satu pilihan, malah menjadi satu keperluan.
“Sehubungan itu, program ini memberi penekanan kepada penguasaan kemahiran pemasaran digital yang relevan dengan keperluan industri, termasuk strategi pemasaran media sosial, penjenamaan digital, pengurusan kandungan, analisis pasaran digital serta teknik pemasaran berasaskan data,” ujarnya.
Tambah Hasliza, usaha ini bertujuan meningkatkan kebolehpasaran graduan serta membentuk komuniti usahawan muda dan ejen pemasaran yang berdaya saing.


Katanya, sepanjang penganjuran, para peserta didedahkan dengan pelbagai pengisian bermanfaat merangkumi sesi ceramah, perkongsian industri, perbincangan interaktif serta aktiviti praktikal yang dirangka khusus bagi meningkatkan kefahaman dan kemahiran dalam aplikasi pemasaran digital secara langsung.
“Program ini turut berperanan sebagai platform perkongsian ilmu dan pengalaman antara pelajar, usahawan, agensi serta pihak industri, di samping membuka ruang kolaborasi berterusan pada masa hadapan,” jelas Hasliza.
Seramai 180 orang peserta yang terdiri daripada pelajar pelbagai latar belakang pengajian, usahawan serta pihak berkepentingan terlibat dalam program dengan sambutan menggalakkan ini, seterusnya mencerminkan minat serta komitmen tinggi para peserta untuk memperkasa diri dengan kemahiran keusahawanan serta pemasaran digital.
“Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada barisan jawatankuasa pelaksana daripada pihak USM dan FAMA atas kerjasama erat, komitmen serta kesungguhan masing-masing dalam menjayakan Program JLU Digital Biz ini,” tambah Hasliza.
Teks dan foto: Ihsan saudari Dian Qiaralina (Setiausaha Majlis Perwakilan Desasiswa JLU dan EXCO Multimedia Majlis Perwakilan Desasiswa JLU