PROGRAM SENAMROBIK PERDANA MERIAHKAN SAMBUTAN 25 TAHUN KAMPUS KEJURUTERAAN USM

NIBONG TEBAL, 16 Januari 2026 - Kira-kira 200 warga Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini hadir memeriahkan Program Senamrobik Perdana Kampus Kejuruteraan yang dianjurkan sempena Sambutan 25 Tahun Kampus Kejuruteraan USM di Nibong Tebal.
Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha berkata, penganjuran program tersebut amat bermakna kerana ia bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah menjadi antara pengisian penting dalam sambutan ulang tahun ke-25 penubuhan kampus berkenaan pada tahun 2026 ini.



Menurut beliau, program itu turut menyaksikan pengumuman pemenang Program Santai Sihat @ Kejuruteraan USM, iaitu satu inisiatif yang diperkenalkan oleh Pejabat Pengarah dengan kerjasama Unit Kesihatan Kampus Kejuruteraan bagi memupuk amalan kesihatan dan kecergasan dalam kalangan warga kampus.
“Program Santai Sihat @ Kejuruteraan telah menerima 90 penyertaan, dengan pendaftaran dibuka dari 1 hingga 7 Mac 2025 dan dilaksanakan sepanjang tempoh 10 bulan,” ujar Profesor Ir. Dr. Mariatti.
“Pengukuran akhir telah dijalankan pada 8 hingga 12 Disember 2025 sebelum seramai 12 pemenang dipilih berdasarkan kriteria dan penilaian yang ditetapkan,” katanya.



Program Santai Sihat @ Kejuruteraan menyaksikan Noor Hasliza Wan Chik dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia dinobatkan sebagai pemenang, diikuti Julia Ahmad dari Jabatan Pendaftar di tempat kedua dan Intan Faezah Darul Izham dari Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC) di tempat ketiga.
Pengarah Kampus dalam ucapan beliau turut merakamkan tahniah kepada semua peserta dan pemenang atas komitmen serta disiplin yang ditunjukkan sepanjang program berlangsung, selain berharap inisiatif Santai Sihat @ Kejuruteraan dapat diteruskan dan diperluaskan pelaksanaannya oleh jabatan lain di kampus berkenaan pada masa hadapan.
Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman