DARI KAMPUS KEJURUTERAAN KE YANG DI-PERTUA PARLIMEN MAHASISWA USM, MUHAMMAD NURAIMAN MOHD YUSRINO CIPTA SEJARAH!

USM PULAU PINANG, 17 Januari 2026 - Muhammad Nuraiman Mohd Yusrino, pelajar dari Kampus Kejuruteraan, mencipta sejarah apabila beliau dilantik sebagai Yang Di-Pertua (Speaker) Parlimen Mahasiswa USM bagi sesi 2025/2026, sekali gus menjadi wakil pertama daripada kampus itu yang memegang jawatan tersebut.
Pelantikan tersebut berlangsung sempena Sidang Parlimen Mahasiswa Siri Pertama USM di Dewan Persidangan Universiti hari ini, yang menyaksikan 18 usul dibahaskan dengan penyertaan seramai 45 Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), 45 Ahli Badan Pelajar, 45 pemerhati serta Ahli Jawatankuasa Khas Usul.
Sebagai pelajar tahun akhir Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam (PPKA), Muhammad Nuraiman ketika dihubungi menyifatkan pelantikannya sebagai satu amanah besar serta simbol kepercayaan terhadap keupayaan dan kematangan kepimpinan mahasiswa Kampus Kejuruteraan.
“Satu amanah yang akan saya pikul dengan penuh rasa tanggungjawab dan rendah hati,” ujarnya.


Lebih bermakna, pelantikan ini menurut Aiman merupakan detik bersejarah apabila Kampus Kejuruteraan diberi kepercayaan buat pertama kali sejak penubuhan platform ini yang dahulunya dikenali sebagai Dewan Perundingan Pelajar (DPP) sebelum dikenali sebagai Parlimen Mahasiswa.
Beliau turut menegaskan bahawa pelantikan tersebut bukan sekadar satu pengiktirafan, malah menjadi simbol kepercayaan terhadap keupayaan, kematangan serta kepimpinan mahasiswa Kampus Kejuruteraan dalam menyumbang kepada tadbir urus universiti.
Menurutnya, Parlimen Mahasiswa berperanan sebagai medan semak dan imbang yang konstruktif antara wakil pelajar dan pihak pentadbiran universiti, di samping menjadi saluran rasmi untuk menyuarakan pandangan mahasiswa secara tersusun, berfakta dan beretika.
“Saya berharap setiap Ahli Parlimen Mahasiswa dapat memainkan peranan dengan penuh integriti, menghormati perbezaan pandangan serta sentiasa mengutamakan kepentingan mahasiswa dalam setiap perbahasan yang dijalankan,” tambah beliau.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Ihsan Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA)