USM KAMPUS KEJURUTERAAN DAN PPJJ PERKENAL PROGRAM MSC MELALUI APEL KEPADA MICRON MEMORY MALAYSIA

BATU KAWAN, 19 Januari 2026 - Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kejuruteraan hari ini mengadakan sesi promosi Program Sarjana Sains (MSc) melalui Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL) di Micron Memory Malaysia Sdn. Bhd., Batu Kawan, bagi memperkenalkan laluan peningkatan akademik dan pembelajaran fleksibel kepada kakitangan syarikat.
Sesi promosi tersebut melibatkan enam pensyarah daripada enam pusat pengajian kejuruteraan iaitu Aeroangkasa, Awam, Bahan & Sumber Mineral, Elektrik & Elektronik, Kimia dan Mekanik, serta Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPJJ) dan Pusat Penilaian APEL.
Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar, ketika diminta mengulas mengenai sesi promosi ini berkata, USM sentiasa komited menyediakan laluan pendidikan yang relevan dan fleksibel bagi memenuhi keperluan industri semasa.
“Program MSc melalui APEL yang kami promosikan hari ini akan memberi peluang kepada warga Micron untuk meningkatkan kelayakan akademik mereka tanpa menjejaskan komitmen kerjaya masing-masing,” katanya.



“Apatah lagi kerjasama USM-Micron yang telah berjalan sejak 2025 melalui pelaksanaan kurikulum ATMP sebelum ini jelas telah membuka ruang besar kepada pembangunan bakat semikonduktor negara,” tambah beliau.
Dalam pada itu, Profesor Mariatti juga berharap agar inisiatif ini dapat memperkukuh hubungan strategik tersebut serta melahirkan lebih ramai tenaga profesional berkemahiran tinggi pada masa hadapan.
“Malah, kami turut merancang untuk mengembangkan lagi sesi promosi seperti ini pada masa hadapan bersama industri-industri lain di sekitar Zon Utara,” tambah beliau.
Teks: Siti Faizah Abd Halim