50 PELAJAR KOLEJ MARA KUALA NERANG LAWAT KAMPUS KEJURUTERAAN USM

NIBONG TEBAL, 20 Januari 2026 - Seramai 50 pelajar feeder dari Kolej MARA Kuala Nerang (KMKN) hari ini mengadakan lawatan ke Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia.
Lawatan ini memberi peluang kepada pelajar untuk mengenali bidang dan kursus yang ditawarkan di kampus sebelum mereka menyambung pengajian kelak.
Dalam sesi lawatan ini, pelajar juga diperkenalkan kepada persekitaran akademik dan kemudahan yang disediakan kampus untuk mengukuhkan minat mereka dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.
Selain daripada itu, pelajar turut menghadiri sesi forum bersama wakil pensyarah dari enam pusat pengajian kejuruteraan iaitu Aeroangkasa, Awam, Elektrik dan Elektronik, Bahan dan Sumber Mineral, Kimia serta Mekanik.

Sesi forum tersebut membolehkan pelajar memahami lebih mendalam dan bertanya soalan mengenai kursus-kursus yang ditawarkan di Kampus Kejuruteraan.
Turut hadir adalah Pengerusi Jawatankuasa Promosi Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Madya Dr. Mohamad Hekarl Uzir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Promosi Kampus Kejuruteraan USM, Ir. Dr. Mohamad Tarmizi Abu Seman dan Ketua Penolong Pendaftar Pejabat Pengarah Kampus Kejuruteraan, Mohd Kamil Ashar.
Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman