NADA LESTARI @ SERC ANJUR PROGRAM PEMAKANAN SIHAT DI KAMPUS KEJURUTERAAN TUANKU SYED SIRAJUDDIN

NIBONG TEBAL, 9 Februari 2026 - Program Nada Lestari @ SERC: Bite and Bloom - Rahsia Makanan Sihat anjuran Nada Lestari @ Pusat Penyelidikan Sains dan Kejuruteraan (SERC) dengan kerjasama Sekretariat Kelestarian Kampus Kejuruteraan telah berlangsung dengan jayanya di Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, Universiti Sains Malaysia (USM), hari ini.
Program yang memberi fokus kepada kelestarian kesihatan melalui amalan pemakanan sihat itu disertai seramai 48 peserta dalam kalangan warga kampus.
Penganjuran program ini bertujuan membudayakan gaya hidup sihat di samping menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), khususnya SDG 3 iaitu Kesihatan dan Kesejahteraan.


Penyelaras Pusat Penyelidikan Sains dan Kejuruteraan (SERC), Hariy Pauzi berkata, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan program tersebut.
“Program ini amat bertepatan dengan usaha kita dalam membudayakan gaya hidup sihat serta menyokong Matlamat Pembangunan Lestari, khususnya SDG 3: Kesihatan dan Kesejahteraan,” katanya.
Tambah beliau, program berkenaan bukan sekadar berbentuk seminar, malah turut merangkumi demonstrasi dan aktiviti penyediaan makanan sihat yang praktikal dan mudah diamalkan dalam kehidupan seharian.
“Saya percaya pendekatan sebegini dapat meningkatkan kefahaman peserta tentang kepentingan pemilihan makanan yang seimbang, berkhasiat dan selamat, seterusnya memberi impak positif kepada kesihatan diri, keluarga dan komuniti,” ujarnya lagi.


Beliau turut berharap agar program tersebut dapat membuka minda serta menyemai kesedaran bahawa amalan pemakanan sihat merupakan satu pelaburan jangka panjang untuk kesejahteraan hidup, selain menggalakkan peserta berkongsi dan mempraktikkan ilmu yang diperoleh secara berterusan.
“Semoga, ia juga dapat menjadi platform berterusan dalam memperkukuh kesedaran warga kampus terhadap kepentingan pemakanan sihat sebagai sebahagian daripada agenda kelestarian kesihatan di Kampus Kejuruteraan USM.
Antara pengisian utama program ialah seminar pemakanan sihat yang disampaikan oleh Pegawai Pemakanan Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Selatan (PKD SPS), Juliani Faridza Alias.
Program turut menampilkan demonstrasi penyediaan makanan sihat oleh Roziana Mat Said, diikuti dengan penerangan berkaitan nutrisi makanan oleh Pegawai Pemakanan dari Klinik Kesihatan Bandar Tasik Mutiara, Nurliyana Saidin serta Pegawai Pemakanan dari Klinik Kesihatan Sungai Acheh, Izzati Ibrahim.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman