AKTIVITI RAMADAN KAMPUS KEJURUTERAAN TUANKU SYED SIRAJUDDIN PERKUKUH TRADISI KEBERSAMAAN DAN KEBAJIKAN WARGA

NIBONG TEBAL, 11 Februari 2026 - Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, Universiti Sains Malaysia (USM) terus menyemarakkan budaya kebersamaan dan gotong-royong sepanjang bulan Ramadan, yang telah menjadi tradisi dan sering menjadi contoh kepada institusi lain.
Kenyataan itu disampaikan oleh Pengarah Pusat Islam USM, Ustaz Zayd Zhari, yang mewakili Pengarah Kampus, dalam ucapan perasmian Majlis Sambutan Hilal Ramadan 1447H/2026M di sini hari ini.
Menurut beliau, kekuatan utama aktiviti ini terletak pada semangat kebersamaan warga kampus yang terus dipelihara saban tahun, merangkumi aspek kerohanian, kebajikan, dan kelestarian.


Beliau menegaskan bahawa Ramadan merupakan medan terbaik untuk setiap individu bermuhasabah diri serta memperkukuh kualiti ibadah.
“Hilal Ramadan bukan sekadar penanda masuknya bulan mulia, tetapi menjadi titik mula untuk menilai prestasi diri,” kata Zayd.
“Oleh itu, usahakan agar Ramadan kali ini lebih baik daripada tahun sebelumnya dan jadikan ia ruang memperbaiki hubungan dengan Allah serta sesama manusia,” tambah beliau.


Ustaz Zayd turut menyeru warga kampus memperbanyakkan doa dan merangka pelan amal ibadah yang tersusun sepanjang Ramadan supaya setiap hari diisi dengan amalan bermakna.
“Anugerah Ramadan perlu kita semua hargai dengan penuh kesyukuran,” ujarnya.
Selain itu, beliau mengajak warga kampus mengamalkan gaya hidup lestari dengan mengurangkan pembaziran makanan, khususnya ketika majlis berbuka puasa, selaras dengan aspirasi kampus yang menitikberatkan kelestarian.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Aktiviti Ramadan Kampus Kejuruteraan 1447H/2026M, Profesor Ir. Dr. Zainal Ahmad, merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan kampus, Pusat Islam, ahli jawatankuasa, serta para sukarelawan yang komited menjayakan program berkenaan sejak sekian lama.
Dalam majlis yang sama, turut diadakan penyerahan Kit Sumbangan Insani berupa 120 set barangan dapur kepada staf kebersihan kontrak Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin.
Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman