PROGRAM KONGSI REZEKI MPP KKTSS ERAT UKHUWAH MAHASISWA DAN KOMUNITI SETEMPAT

NIBONG TEBAL, 5 Mac 2026 - Semangat kesukarelawanan dan keprihatinan sosial dalam kalangan mahasiswa terus diperkukuh menerusi penganjuran Program Kongsi Rezeki Bersama: Sentuhan Ukhuwah Mahasiswa Kejuruteraan anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin (KKTSS), Universiti Sains Malaysia (USM), awal pagi tadi.
Program yang berlangsung dari jam 3.00 hingga 5.00 pagi itu melibatkan agihan makanan sahur secara percuma kepada komuniti sekitar Nibong Tebal dan Parit Buntar sebagai simbolik perkongsian rezeki serta usaha menyemai nilai kebersamaan antara mahasiswa serta masyarakat.
Pelaksanaan program ini turut mendapat sokongan padu daripada Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) KKTSS yang banyak membantu dalam memastikan kelancaran perjalanan program.
Program berkenaan melibatkan barisan kepimpinan MPP, sekretariat MPP serta pelajar-pelajar Kampus Kejuruteraan yang berganding bahu dalam proses penyediaan, pembungkusan dan pengagihan makanan kepada komuniti sasaran termasuk petugas keselamatan, pekerja syif malam dan penduduk setempat.


Yang Dipertua MPP Kampus, Muhammad Nuraiman Mohd Yusrino berkata, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen mahasiswa dalam memainkan peranan aktif sebagai agen perubahan sosial.
“Program ini merupakan contoh terbaik bagaimana satu inisiatif kecil mampu mencetuskan impak yang besar dalam membina komuniti kampus yang saling menyokong dan prihatin,” katanya.
Menurut beliau, program tersebut juga selari dengan aspirasi universiti dalam membentuk sahsiah mahasiswa yang holistik melalui pendekatan berteraskan nilai, kesukarelawanan dan kepimpinan.
Tambahnya lagi, penganjuran program ini turut menyokong hasrat kerajaan dalam memperkukuh pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya Matlamat Ke-2 iaitu Zero Hunger serta Matlamat Ke-17 iaitu Partnerships for the Goals, melalui usaha menangani isu keselamatan makanan dan memperluas jaringan kerjasama bersama komuniti setempat.
Program Kongsi Rezeki ini diharap dapat diteruskan sebagai agenda berkala kampus dalam memperkukuh hubungan antara mahasiswa, pihak pentadbiran serta masyarakat luar, sejajar dengan peranan universiti sebagai institusi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah aktif dalam tanggungjawab sosial.
Teks dan Foto: Mohamad Haziq Zulkifli (setiausaha MPP KKTSS)