TAKLIMAT DAN SESI PENYERAHAN PELAJAR KOKURIKULUM BERKREDIT PERKUKUH PEMBANGUNAN HOLISTIK PELAJAR KKTSS
NIBONG TEBAL, 2 April 2026 - Seramai kira-kira 537 orang pelajar ijazah sarjana muda kejuruteraan telah menyertai Taklimat dan Sesi Penyerahan Pelajar Kokurikulum Berkredit bagi Semester 2, Sidang Akademik 2025/2026 yang berlangsung di Dewan Utama, Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin (KKTSS), Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini.
Program yang melibatkan sebanyak 28 kursus kokurikulum berkredit ini ditawarkan di bawah Kursus Universiti dan Mata Pelajaran Pengajian Umum Kelompok U4 (MPU4) bagi memenuhi keperluan pengijazahan pelajar daripada 11 program ijazah sarjana muda kejuruteraan di kampus tersebut.
Timbalan Pengarah Pusat Rancangan Kokurikulum KKTSS, Profesor Madya Dr. Mohd Salman Abu Mansor dalam ucapannya berkata, dengan bermulanya proses pengajaran dan pembelajaran kursus kokurikulum berkredit, para pelajar berpeluang untuk memperoleh ilmu dan kemahiran baharu melalui pelbagai teras kokurikulum yang ditawarkan.
Menurut beliau, antara teras yang diketengahkan termasuk kelestarian, kebudayaan, daya usaha dan inovasi, sukan serta pengucapan awam yang mampu mengimbangi pembangunan akademik dan memupuk nilai jati diri serta kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar.
“Penawaran kursus kokurikulum ini adalah selari dengan perkembangan semasa serta menyokong agenda universiti APEX dan aspirasi Malaysia MADANI dalam melahirkan graduan yang seimbang dan berdaya saing,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Rancangan Sukan dan Kebudayaan Pusat Rancangan Kokurikulum KKTSS, Profesor Madya Dr. Azam Taufik Mohd Din turut berharap agar pelajar memanfaatkan peluang yang ada untuk meneroka minat dan bakat masing-masing melalui pelbagai pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang telah dirangka oleh tenaga pengajar yang berpengalaman.
“Selain itu, kursus kokurikulum ini juga diharap dapat menjadi platform untuk memupuk gaya hidup sihat serta memperkukuh perpaduan dan interaksi dalam kalangan pelajar tempatan berbilang kaum dan pelajar antarabangsa,” ujarnya.
Program ini turut melibatkan seramai 25 dari 28 orang tenaga pengajar yang akan mengendalikan kursus-kursus kokurikulum sepanjang semester ini.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman