PENGERUSI LGU TURUN PADANG DENGAR MAKLUM BALAS PENGURUSAN DAN KEPIMPINAN PELAJAR KKTSS USM

NIBONG TEBAL, 23 April 2026 - Lawatan kerja Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti (LGU), Profesor Emeritus Dato’ Dr. Hassan Said ke Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin (KKTSS), Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini memberi penekanan kepada pendekatan libat urus secara langsung bersama barisan pengurusan kampus serta kepimpinan pelajar.
Menurut Profesor Emeritus Dato’ Dr. Hassan Said, lawatan ini memberi peluang kepada beliau untuk mendengar secara langsung pandangan dan maklum balas daripada pihak pengurusan kampus serta kepimpinan pelajar.


Menurut beliau, pendekatan ini penting bagi membolehkan pihaknya mengenal pasti ruang penambahbaikan yang boleh diperkasakan, khususnya dari sudut sokongan dan peranan di peringkat Lembaga Gabenor Universiti.
Lawatan yang berlangsung di Pusat Penyelidikan Sains dan Kejuruteraan (SERC) itu merangkumi sesi taklimat Kampus oleh Pengarah Kampus, Professor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha, yang menyentuh perkembangan semasa serta hala tuju strategik kampus.


Turut diadakan sesi perbincangan bersama Ahli Jawatankuasa Pengurusan Kampus dan Jawatankuasa Khas Kampus (EXCO) yang memfokuskan kepada aspek pengurusan, operasi serta cadangan penambahbaikan dalam memperkukuh tadbir urus kampus.
Lawatan diteruskan dengan sesi perbincangan bersama pemimpin pelajar yang melibatkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Majlis Penghuni Desasiswa (MPD), yang memberi ruang kepada perkongsian pandangan serta isu-isu berkaitan kampus.
Dalam sesi tersebut, tiga teras utama telah diketengahkan iaitu kebajikan, kesejahteraan dan akademik pelajar sebagai fokus dalam memastikan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan seimbang.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman