Skip to main content

PROGRAM KELESTARIAN SERC-MBSP PERKASA AMALAN KITAR SEMULA MELALUI BENGKEL DIY HIASAN RUMAH

DSC 5780

NIBONG TEBAL, 28 April 2026 - Program kelestarian hasil kerjasama antara Pusat Penyelidikan Sains dan Kejuruteraan (SERC), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) melalui Unit Upcycle hari ini berjaya dianjurkan dengan penyertaan seramai 23 orang peserta.

Antara pengisian utama program ialah Bengkel Kraf Tangan: DIY Sustainable Home Deko, yang memberi tumpuan kepada pemanfaatan semula barangan terpakai dari dapur bagi menghasilkan produk hiasan dalaman yang kreatif dan bernilai.

DSC 5712 DSC 5722

DSC 5739 DSC 5720

Penyelaras SERC, Hariy Pauzi, dalam ucapannya menegaskan bahawa penganjuran program tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan amalan kitar semula dalam usaha memelihara kelestarian alam sekitar.

Menurut beliau, program seumpama ini memberi pendedahan kepada peserta tentang kaedah mengubah sisa buangan terpilih kepada produk yang bernilai, sekali gus menggalakkan pendekatan kreatif dalam mengurus sumber sedia ada secara lebih berhemah.

DSC 5773 DSC 5780

DSC 5783 DSC 5793

“Dalam dunia yang semakin mencabar hari ini, isu kelestarian bukan lagi satu pilihan, sebaliknya satu keperluan,” katanya.

Tambah beliau, pendekatan seperti ini berpotensi menjadi pemangkin kepada perubahan gaya hidup yang lebih lestari serta memberi impak positif kepada masyarakat.

Beliau turut berharap agar program berkenaan dapat memberi inspirasi kepada para peserta untuk mengamalkan kitar semula dalam kehidupan seharian, sama ada di rumah mahupun di tempat kerja.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman