PROGRAM KESIAPSIAGAAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN PERKASA PELAJAR KEJURUTERAAN KIMIA MENJELANG KARNIVAL KERJAYA USM

NIBONG TEBAL, 29 April 2026 - Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (BHEPA) dan Pusat Perhubungan Alumni Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah menganjurkan program Kesiapsiagaan Kebolehpasaran graduan sebagai inisiatif memperkukuh persediaan pelajar menghadapi dunia kerjaya.
Program bertemakan “Beyond the Scroll, Equipping the Next Generation of Chemical Engineers” ini bertujuan memberi pendedahan industri serta persediaan kerjaya kepada pelajar, khususnya berkaitan trend terkini, realiti alam pekerjaan dan jangkaan majikan dalam pelbagai sektor kejuruteraan.
Selain itu, program ini turut menjadi platform dalam membina hubungan dua hala antara pelajar dan alumni Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, sekali gus memperluas jaringan profesional dalam kalangan bakal graduan.


Program yang menyasarkan pelajar tahun tiga dan tahun empat ini memberi fokus kepada aspek kesiapsiagaan graduan, termasuk pembangunan kemahiran, peningkatan pengetahuan serta pembinaan keyakinan diri sebelum melangkah ke alam pekerjaan.
Menariknya, program ini menampilkan barisan panel jemputan yang merupakan alumni Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, iaitu Raja Khairul Anwar Raja Baharudin, Uvannesan Krishnasamy dan Selah Anak Jalak yang berkongsi pengalaman serta pandangan industri kepada para pelajar.
Masing-masing kini berjaya di Cenergi SEA Berhad, Petronas Chemicals Fertilizer, dan (Malaysia) Sdn. Bhd.
Penolong Pendaftar Kanan BHEPA merangkap penyelaras Fasa 1 Program Karnival Kerjaya 2026, Norzita Nanyan berkata, program ini merupakan antara usaha berstruktur dalam memastikan pelajar mempunyai tahap kebolehpasaran yang tinggi.


Menurut beliau, inisiatif tersebut dilaksanakan sebagai platform awal dalam mempersiapkan pelajar secara menyeluruh sebelum menyertai pasaran kerja sebenar.
“Program ini juga merupakan sebahagian daripada persediaan awal menuju Karnival Kerjaya USM 2026 yang akan berlangsung pada 20 hingga 21 Mei ini, melibatkan penyertaan daripada semua pusat pengajian di USM,” katanya.
Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Alumni Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Mohd Azmier Ahmad bagi menyokong penganjuran program tersebut.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman