Skip to main content

USM MELALUI ZAWAIN PERKASA KEBAJIKAN PELAJAR ASNAF CEMERLANG MENERUSI SUMBANGAN KOMPUTER RIBA

DSC 6135

NIBONG TEBAL, 7 Mei 2026 - Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pejabat Zakat, Wakaf dan Infaq Universiti Sains Malaysia (ZAWAIN) hari ini telah mengadakan Majlis Penyerahan Komputer Riba kepada lima orang Pelajar Asnaf Cemerlang Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin.

Penyerahan komputer riba ini merupakan sebahagian daripada usaha membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah untuk meneruskan pengajian dalam persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan berkesan.

Dalam ucapannya, Pengarah Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin USM, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha berkata, sumbangan tersebut bukan sekadar penyerahan sebuah peranti, malah mencerminkan komitmen dan keyakinan pihak luar terhadap potensi pelajar USM.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penyembang atas sumbangan yang disifatkan memberi impak signifikan dalam menyokong keperluan pembelajaran serta memastikan kelangsungan pengajian pelajar di ketiga-tiga kampus.

DSC 6064 DSC 6080 

DSC 6110 DSC 6115

Profesor Ir. Dr. Mariatti turut mengingatkan para penerima bahawa sumbangan tersebut hadir bersama tanggungjawab dan perlu dimanfaatkan secara optimum untuk menyokong pembelajaran, memperkukuh penguasaan ilmu serta meningkatkan keupayaan profesional para pelajar.

“Sumbangan ini mencerminkan keyakinan pihak luar terhadap keupayaan pelajar kita dan memperlihatkan keberkesanan pendekatan universiti dalam melaksanakan usaha kebajikan pelajar, khususnya melalui ZAWAIN USM,” katanya.

Sementara itu, Pengarah ZAWAIN USM, Profesor Madya Dr. Anwar Allah Pitchay ketika ditemui menjelaskan bahawa inisiatif tersebut merupakan hasrat penyumbang untuk menyumbang 100 unit komputer riba kepada pelajar asnaf cemerlang USM.

Menurut beliau, bagi pelaksanaan inisiatif tersebut, seramai 100 pelajar cemerlang termasuk lima orang pelajar tahun satu di Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin daripada keluarga berpendapatan rendah telah dipilih berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh penyumbang.

DSC 6117 DSC 6121 

DSC 6122 DSC 6125

“Inisiatif tersebut akan diperluaskan lagi kepada lebih ramai pelajar yang memerlukan pada masa hadapan bergantung kepada jumlah tajaan yang diterima oleh pihak ZAWAIN,” ujarnya.

Dr. Anwar turut merakamkan jutaan terima kasih kepada Haji Hassan Hussain atas sumbangan berkenaan dan menyeru agar lebih ramai dermawan tampil menyokong serta menjayakan inisiatif kebajikan pelajar USM pada masa akan datang.

Salah seorang penerima, Umie Aida Ismail, 22, pelajar dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, meluahkan rasa gembira dan bersyukur atas sumbangan komputer riba tersebut serta menyatakan bahawa beliau akan terus berusaha untuk kekal cemerlang sepanjang pengajian di USM.

Seorang lagi penerima, Muhammad Riyaz Muhammed Mubarak, 20, dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, pula menyatakan bahawa sumbangan tersebut mampu menyokong pembelajaran para penerima untuk terus berusaha mencapai keputusan yang baik pada masa akan datang.

Antara penerima lain ialah Nurul Ain Humaira Huzaidi dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, Nur Khatijah Anuar Deen dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia serta Siti Nurhidayah Zulkifle dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam yang masing-masing merupakan pelajar tahun satu.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman