USM PERKASA PENGALAMAN PEMBELAJARAN, NAIK TARAF 1140 SET PERABOT ASRAMA KKTSS

NIBONG TEBAL, 6 Mei 2026 - Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini terus memperkukuh komitmennya dalam meningkatkan kebajikan serta kualiti kehidupan pelajar dengan menaik taraf sebanyak 1,140 set perabot baharu di Kediaman Asrama, Desasiswa Jaya, Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin (KKTSS).
Inisiatif berkenaan melibatkan penyediaan katil, almari, meja belajar dan kerusi yang lebih moden serta ergonomik, selaras dengan usaha universiti mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif, selesa dan progresif.
Menurut kenyataan pihak pengurusan desasiswa, pelaksanaan fasa awal melibatkan penawaran bilik yang telah dinaik taraf kepada pelajar baharu bagi sidang akademik 2026/2027 yang bermula September ini.
Perabot baharu itu ditempatkan di tiga blok Desasiswa Jaya, merangkumi konfigurasi bilik bertiga, berdua dan seorang bagi memenuhi keperluan fleksibiliti serta keselesaan penghuni.
Selain itu, pengagihan kemudahan tersebut juga akan diperluaskan kepada pelajar sedia ada secara berperingkat dalam fasa seterusnya.


Pengarah Kampus, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha berkata, usaha berkenaan merupakan sebahagian daripada strategi berterusan universiti dalam memperkukuh ekosistem pembelajaran berkualiti tinggi dan berdaya saing.
Menurut beliau, penambahbaikan fasiliti turut mengambil kira peningkatan kehadiran pelajar antarabangsa, sekali gus menuntut penyediaan kemudahan bertaraf global.
“Selain itu, inisiatif ini juga jelas menunjukkan bahawa USM melalui Pusat Perumahan dan Penginapan Universiti (PPPU) komited dalam memastikan setiap kemudahan yang disediakan berada pada tahap terbaik,” ujar Profesor Ir. Dr. Mariatti.
“Ianya adalah untuk menyokong pengalaman pembelajaran yang kondusif dan holistik untuk seluruh warga kampus,” tambah beliau.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Muhammad Nuraiman Mohd Yusrino berkata, inisiatif tersebut disambut baik oleh pelajar kerana memberi impak langsung terhadap kesejahteraan dan motivasi mereka.
“Rekaan perabot yang moden dan praktikal bukan sahaja mewujudkan suasana kediaman yang lebih selesa, malah membantu mengoptimumkan penggunaan ruang serta menyokong aktiviti harian pelajar,” katanya.
Teks: Ihsan Pusat Perumahan Dan Penginapan Universiti (Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin)
Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman