BERAMBEH SISWA 4.0 SEMARAK SEMANGAT KOMUNITI DAN KHIDMAT MASYARAKAT DI KAMPUNG ANAK AIR

NIBONG TEBAL, 1 Mei 2026 - Pembimbing Pelajar Siswa Lestari (PPSL), Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin (KKTSS) telah menganjurkan program Berambeh Siswa 4.0 di Kampung Anak Air, Kuantan baru-baru ini.
Program yang berlangsung selama lima hari itu disertai seramai 53 orang pelajar daripada tahun satu hingga tahun empat dan diketuai oleh pelajar Tahun Dua Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, Saudara Nazrul Danny Nazaruddin selaku Pengarah Projek.
Sebanyak 14 keluarga di Kampung Anak Air turut terlibat sebagai keluarga angkat sepanjang program berlangsung termasuk bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Emeritus Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim.
Berambeh Siswa 4.0 memberi fokus kepada elemen khidmat masyarakat selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 17 iaitu “Partnerships for the Goals” atau “Kerjasama Demi Matlamat”.




Antara pengisian program yang dilaksanakan termasuk aktiviti gotong-royong, melukis mural, sukaneka, rewang kampung, lawatan ke Muzium Sungai Lembing, lawatan ke kilang pembuatan keropok serta pengisian kerohanian.
Majlis penutup program turut dihadiri Pegawai Khas Penyelaras DUN Tanjung Lumpur, Tuan Haji Fadzilah Mohamad Tahir bersama Ketua Kampung Anak Air, Encik Mohamad Farizal Mohd Nor.
Turut sama menjayakan program tersebut ialah kakitangan dan pegawai Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) yang diketuai oleh Ketua Unit BHEPA KKTSS, Mohd Hafiz Ali Mohd Anuar.
Teks/Foto: Muhammad Iqbal Ihtisham Ramzi (Tahun 2, Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam)
Suntingan: Mohd Nur Badri Bin Mohd Nazli (Pegawai Kebudayaan BHEPA KKTSS)