PUSAT RANCANGAN KOKURIKULUM KKTSS ANJUR MALAM KEBUDAYAAN KOKURIKULUM BERKREDIT TONJOL BAKAT DAN SEMANGAT PERPADUAN PELAJAR

PULAU PINANG, 15 Mei 2026 - Malam Kebudayaan, Pameran Statik dan Demo Persembahan Kursus Kokurikulum Berkredit anjuran kursus WSC127 Pengurusan Acara berjaya menghimpunkan kira-kira 500 pelajar dalam satu program yang berlangsung pada 13 Mei lalu.
Program bertemakan “Pelbagai Budaya, Satu Irama Perpaduan” itu dianjurkan bagi memenuhi keperluan kursus WSC127 di bawah Pusat Rancangan Kokurikulum Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin (KKTSS) bagi Sidang Akademik 2024/2025.
Timbalan Pengarah Pusat Rancangan Kokurikulum Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, Profesor Madya Dr. Mohd Salman Abu Mansor berkata, program tersebut berjaya menonjolkan bakat dan kemahiran baharu pelajar kejuruteraan daripada pelbagai jurusan dan tahun pengajian.



Menurut beliau, penganjuran program itu bukan sahaja memenuhi keperluan Kursus Universiti dan Mata Pelajaran Pengajian Umum Kelompok U4 (MPU4), malah turut membantu membentuk kemahiran insaniah dan jati diri dalam kalangan pelajar.
“Program ini berjaya memupuk semangat kerjasama berpasukan, kepimpinan dan sikap hormat-menghormati dalam kalangan pelajar di bawah bimbingan Tenaga Pengajar Sambilan Kokurikulum (TPSK) yang berpengalaman dan berdedikasi,” katanya.
Beliau berkata, kursus kokurikulum berkredit yang diikuti pelajar turut diselaraskan dengan Hasil Pembelajaran Kursus (CLO) berteraskan kebudayaan dan kesukarelawanan selari dengan agenda universiti APEX dan aspirasi Malaysia Madani.



Sementara itu, Pengerusi Rancangan Sukan dan Kebudayaan Pusat Rancangan Kokurikulum Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, Profesor Madya Dr. Azam Taufik Mohd Din berkata, beliau teruja melihat tahap kreativiti dan keyakinan tinggi pelajar ketika membuat persembahan di pentas.
“Walaupun mengikuti kursus kokurikulum berkredit hanya dalam satu semester, pelajar berjaya menguasai kemahiran asas dengan baik selain menampilkan fokus, disiplin persembahan dan kerjasama berpasukan yang erat di atas pentas mahupun di belakang tabir,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan pelajar kursus WSC127 atas kejayaan penganjuran program berkenaan.
Antara persembahan kebudayaan dan demonstrasi yang dipersembahkan sepanjang program termasuk teater moden, koir, seni silat cekak, kompang berlagu, gitar serta persembahan daripada pasukan PALAPES Udara, Darat dan Laut.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman