USM, PEMSEA, JPS DAN LSANK METERAI KERJASAMA STRATEGIK PERKUKUH PENGURUSAN LEMBANGAN SUNGAI KEDAH

NIBONG TEBAL, 16 Jun 2026 - Universiti Sains Malaysia (USM) bersama PEMSEA Resource Facility (PRF), Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) serta Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) hari ini memeterai kerjasama strategik bagi pelaksanaan projek “Reducing Pollution and Preserving Environmental Flows in the East Asian Seas through the Implementation of Integrated River Basin Management (IRBM) in ASEAN Countries” (IRBM-R2PEF) di Lembangan Sungai Kedah.
Majlis ini melibatkan pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) antara PRF dan USM serta Memorandum Persefahaman (MoU) antara USM, LSANK dan JPS bagi memperkukuh usaha pengurusan sumber air secara bersepadu dan mampan.
Pengarah Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin USM, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha yang mewakili Naib Canselor USM berkata, menerusi MoA dan MoU tersebut, Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC), USM akan bertindak sebagai institusi pelaksana bagi projek Projek Pengurangan Pencemaran dan Pemeliharaan Aliran Persekitaran di Laut Asia Timur melalui Pelaksanaan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM-R2PEF).
Menurut beliau, projek yang dibiayai sepenuhnya oleh Global Environment Facility (GEF), United Nations Development Programme (UNDP) dan The Association of Southeast Asian Nations (ASEAN) dengan peruntukan berjumlah USD500,000 itu akan dilaksanakan di Lembangan Sungai Kedah mulai 1 Julai 2026 hingga 31 Disember 2027.
“Antara komponen utama projek ini termasuk pembangunan mekanisme pelaksanaan IRBM, penyediaan penilaian asas dan State of River Basin Report, pembentukan Pelan Tindakan Strategik, pelaksanaan projek perintis serta sistem pemantauan dan penilaian,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama bersama JPS Malaysia dan LSANK bukan sesuatu yang baharu, sebaliknya dibina atas hubungan kerjasama, kepercayaan dan perkongsian kepakaran yang telah lama terjalin.

“USM amat menghargai sokongan berterusan JPS, khususnya melalui penyelidikan Sistem Saliran Bio-Ekologi (BIOECODS) serta pelbagai inisiatif bersama yang menyumbang kepada pengurusan sumber air secara lestari,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif PEMSEA Resource Facility, Ms. Aimee Gonzales berkata, PEMSEA melalui projek IRBM-R2PEF bersedia menyokong Malaysia dalam melaksanakan aktiviti dan hasil projek seperti yang dipersetujui menerusi MoA yang dimeterai.
“Projek ini memberi tumpuan kepada empat objektif utama iaitu memastikan bekalan air mencukupi, memastikan air yang bersih, mengurangkan risiko banjir serta meningkatkan pemuliharaan alam sekitar,” katanya.
Menurut beliau, penyediaan State of River Report bagi Sungai Kedah dan pelaksanaan projek perintis melalui penggunaan teknologi inovatif akan membantu menangani isu pengurusan utama lembangan sungai selain membuka peluang pelaburan bagi memastikan kelangsungan hasil kerjasama ini.
Beliau turut menegaskan bahawa projek berkenaan berpotensi menjadi pemangkin kepada kerjasama lebih luas dalam memperkukuh konsep “Source to Sea” di rantau Laut Asia Timur.



Ketua Pengarah JPS Malaysia, Datuk Ir. Mohamad Radzi Abdul Talib berkata, kerjasama antara USM, LSANK dan JPS menggabungkan kekuatan tiga pihak utama iaitu ilmu, penyelidikan dan inovasi daripada USM; kepimpinan serta tadbir urus negeri oleh LSANK; serta kepakaran teknikal dan penyelarasan nasional oleh JPS.
“Cabaran berkaitan air semakin kompleks di mana perubahan iklim memberi kesan kepada corak hujan, kejadian banjir dan kemarau semakin kerap berlaku, manakala pencemaran sungai terus memberi tekanan terhadap sumber air,” katanya.
Beliau berkata, memandangkan sungai tidak mengenal sempadan pentadbiran, pendekatan kerjasama rentas agensi amat penting bagi memastikan pengurusan sumber air yang berkesan dan berterusan.
Sementara itu, Pengarah LSANK, Syed Amaluddin Hafeez Syed Musa berkata, Sungai Kedah merupakan aset strategik negeri yang menyokong pelbagai sektor termasuk bekalan air, pertanian, ekonomi serta kehidupan masyarakat.
“Lembangan Sungai Kedah berdepan pelbagai cabaran termasuk pencemaran, sedimentasi, risiko banjir monsun dan tekanan pembangunan. Justeru, pendekatan pengurusan lembangan sungai bersepadu amat penting bagi memastikan sumber air ini dipelihara secara mampan,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan projek ini dijangka memperkukuh tadbir urus lembangan sungai, meningkatkan kualiti air, memelihara ekosistem serta mengurangkan risiko berkaitan air.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abd Rahman