SERC JUARA PERTANDINGAN FOTOGRAFI “KLIK AIDILFITRI” KKTSS 2026, PEJABAT PENGARAH UNGGULI PERTANDINGAN PENGUMPULAN BANNER TERPAKAI

NIBONG TEBAL, 22 Jun 2026 - Pusat Penyelidikan Sains dan Kejuruteraan (SERC) dinobatkan sebagai juara Pertandingan Fotografi “Klik Aidilfitri” KKTSS 2026, manakala Pejabat Pengarah muncul pemenang Pertandingan Pengumpulan Banner Terpakai KKTSS 2026.
Pengumuman pemenang dan penyampaian hadiah bagi kedua-dua pertandingan telah disempurnakan oleh Pengarah Kampus, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha sempena Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Kampus yang diadakan hari ini.
Kedua-dua pertandingan tersebut telah dianjurkan oleh Pejabat Pengarah KKTSS, Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan warga kampus di samping menyokong amalan kelestarian dan penjagaan alam sekitar.
Pertandingan Fotografi “Klik Aidilfitri” KKTSS 2026 telah diadakan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun 2026 dengan penyertaan dibuka kepada semua Pusat Tanggungjawab (PTJ) di Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin.


Bertemakan “Riang Ria Aidilfitri”, pertandingan tersebut mengetengahkan kreativiti warga kampus dalam merakam dan menzahirkan kemeriahan sambutan Aidilfitri di tempat kerja.
Bagi memastikan semangat kebersamaan dapat diterjemahkan menerusi setiap penyertaan, gambar yang dipertandingkan perlu melibatkan sekurang-kurangnya 60 peratus staf PTJ, merupakan hasil karya asli PTJ sendiri dan dirakam pada tahun 2026.
Penyertaan pertandingan telah dinilai oleh dua juri jemputan dari Pusat Media dan Perhubungan Awam Kampus Induk iaitu Muhammad Nazer Abdul Hadi (Pereka), dan Mohd Fairus Md Isa (Jurufotografi).
Berdasarkan penilaian yang dibuat, SERC berjaya merangkul tempat pertama, diikuti Pejabat Pengarah Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin di tempat kedua, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Pusat Swa-Akreditasi (PSA).


Sementara itu, Pertandingan Pengumpulan Banner Terpakai KKTSS 2026 telah dianjurkan bagi menggalakkan amalan kelestarian serta meningkatkan kesedaran warga kampus terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar melalui pengurusan bahan terpakai secara lebih bertanggungjawab.
Pemenang pertandingan ditentukan berdasarkan jumlah berat dan kuantiti banner terpakai yang berjaya dikumpulkan oleh setiap PTJ sepanjang tempoh pertandingan.
Pejabat Pengarah berjaya muncul juara selepas merekodkan jumlah pengumpulan banner terpakai tertinggi dengan 17.3 kg. Tempat kedua dimenangi oleh Perpustakaan Musa Mohamad dengan 16.7 kg, manakala Pusat Islam berjaya menduduki tempat ketiga dengan pengumpulan terkumpul sebanyak 15.4 kg.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman