KARNIVAL KEJURUTERAAN KE-25 PERLUAS JARINGAN INDUSTRI DAN PEMBANGUNAN PELAJAR

NIBONG TEBAL, 24 Jun 2026 - Karnival Kejuruteraan Ke-25 Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin (KKTSS), Universiti Sains Malaysia (USM) melabuhkan tirainya melalui majlis penutup yang berlangsung pada 21 Jun baru-baru ini.
Karnival bersempena sambutan Jubli Perak Kampus Kejuruteraan di Nibong Tebal ini menghimpunkan pelbagai program dan aktiviti anjuran persatuan serta badan pelajar di bawah Kampus Kejuruteraan USM.
Majlis penutup telah disempurnakan oleh Pengarah Kampus, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha.
Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa penganjuran karnival seumpama ini menjadi platform penting bagi pembangunan pelajar secara menyeluruh di samping mengukuhkan hubungan antara universiti dan pihak industri.
Menurut beliau lagi, Karnival Kerjaya yang dianjurkan sepanjang program berperanan menghubungkan pelajar secara langsung dengan industri melalui pendedahan kepada keperluan semasa pasaran kerja, pembinaan rangkaian profesional serta peningkatan kebolehpasaran graduan.
Beliau turut menegaskan bahawa penglibatan aktif rakan industri mencerminkan keyakinan mereka terhadap kualiti graduan yang dilahirkan oleh Kampus Kejuruteraan, seterusnya memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua pihak.
Tambah beliau, pencapaian kampus sepanjang 25 tahun penubuhannya adalah hasil komitmen berterusan warga kampus, pelajar, alumni serta rakan industri yang sentiasa menyokong pembangunan institusi ini.


Menurutnya, pencapaian tersebut menjadi asas untuk kampus terus memperkukuh peranannya sebagai institusi pendidikan kejuruteraan yang cemerlang pada masa hadapan.
Beliau turut menekankan bahawa pembangunan pelajar secara holistik akan terus diberi keutamaan melalui penerapan kemahiran kepimpinan, semangat kerjasama, elemen keusahawanan, nilai serta etika profesional, di samping pengukuhan kemahiran komunikasi dan pemikiran kritis.
“Pendekatan ini penting bagi memastikan pelajar bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga bersedia menghadapi cabaran sebenar selepas menamatkan pengajian,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Program, Danish Aiman yang juga wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik berkata karnival ini berjaya menjadi platform yang menyatukan warga kampus melalui pelbagai program berbentuk akademik, kesukanan, kebajikan dan kemasyarakatan.
Beliau menjelaskan bahawa penganjuran Karnival Kejuruteraan Ke-25 bukan sahaja meraikan ulang tahun penubuhan kampus, malah mencerminkan semangat kebersamaan dan kerjasama dalam kalangan warga Kampus Kejuruteraan.
Menurut beliau lagi, sambutan ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada kecemerlangan mahasiswa dalam aspek akademik, kepimpinan dan pembangunan sahsiah, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang berdaya saing, berintegriti dan bersedia menyumbang kepada masyarakat serta negara.
Turut hadir ialah Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Profesor Ir. Dr. Fadzli Mohamed Nazri, Penggawa Desasiswa Jaya Lembaran Utama, Hasliza Mad Saad, Pegawai Kaunselor KKTSS, Muhammad Anif Bin Mohd Robi serta Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar KKTSS, Muhammad Nuraiman Mohd Yusrino.
Teks dan Foto: Ihsan Ahli Jawatankuasa Karnival Kejuruteraan Ke-25
Suntingan: Siti Faizah Abd Halim