DUA PELAJAR KEJURUTERAAN USM TERPILIH IKUTI LATIHAN INDUSTRI DI TURKIYE MENERUSI SKYGLOBAL INTERNSHIP PROGRAMME

NIBONG TEBAL, PULAU PINANG, 28 Julai 2026 - Universiti Sains Malaysia (USM) melalui dua pusat pengajian kejuruteraannya terus memperkukuh komitmennya dalam melahirkan graduan bertaraf global apabila dua pelajarnya terpilih menyertai SKYGLOBAL Internship Programme, sekali gus berpeluang menjalani latihan industri di Turkish Aerospace Industries (TUSAŞ), Ankara, Turkiye.
Baru-baru ini, seramai 20 pelajar daripada pelbagai institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) tempatan telah ditawarkan menyertai SKYGLOBAL Internship Programme dalam satu majlis yang berlangsung di MIGHT Partnership Hub, Cyberjaya, pada 20 Julai 2026.
Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Profesor Madya Dr. Elmi Abu Bakar, berkata pihaknya sentiasa menyokong usaha memperkasa pembangunan pelajar melalui penyertaan dalam program di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
"Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa sentiasa menyokong apa jua aktiviti pembangunan pelajar di peringkat domestik dan antarabangsa demi mengangkat nama Universiti Sains Malaysia di persada dunia. Sokongan berterusan daripada pusat pengajian ini menjadi pemangkin penting kepada pelajar untuk mengasah bakat, menyerlahkan potensi serta bersaing di pentas antarabangsa," katanya.
Sementara itu, Nirmatha A/P Jeyakumar, melahirkan rasa syukur dan bangga apabila terpilih menyertai program berprestij tersebut.

Beliau berkata, peluang menjalani latihan industri di TUSAŞ merupakan satu pencapaian penting yang akan memberi pendedahan secara langsung kepada persekitaran industri aeroangkasa bertaraf dunia, selain membolehkan beliau menimba pengalaman daripada pakar industri dan memperkukuh kemahiran teknikal serta profesional.
Menurutnya lagi, pengalaman tersebut diharapkan menjadi batu loncatan untuk menjadi seorang jurutera aeroangkasa yang kompeten serta memberi inspirasi kepada lebih ramai pelajar untuk merebut peluang pembangunan antarabangsa yang mampu meningkatkan keyakinan diri dan daya saing.
SKYGLOBAL Internship Programme memberi pendedahan kepada peserta mengenai perkembangan teknologi aeroangkasa dan industri penerbangan bertaraf antarabangsa, di samping memperkukuh pengetahuan praktikal dalam persekitaran industri sebenar.
Program ini turut membuka peluang kepada pelajar membina jaringan profesional di peringkat global serta melahirkan tenaga mahir tempatan yang berdaya saing dan bersedia menyumbang kepada pembangunan industri aeroangkasa negara sebaik menamatkan pengajian.
Majlis turut dihadiri oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Duta Besar Turkiye ke Malaysia, Dr. Nevzat Uyanık dan Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Ihsan Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa