Skip to main content

KAMPUS KEJURUTERAAN TUANKU SYED SIRAJUDDIN USM TERIMA KUNJUNGAN SMK ZAINAB 1

NIBONG TEBAL, 6 Ogos 2026 - Seramai 70 pelajar bersama lapan guru pengiring dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Zainab 1, Kota Bharu, Kelantan telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin (KKTSS), Universiti Sains Malaysia (USM), hari ini.

Ketibaan rombongan telah disambut oleh Pengarah Kampus, Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha yang turut menyampaikan taklimat khas mengenai USM dan KKTSS, merangkumi program akademik, kemudahan kampus serta peluang pengajian dalam bidang kejuruteraan.

Lawatan ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada para pelajar mengenai persekitaran pembelajaran di institusi pengajian tinggi, khususnya dalam bidang kejuruteraan dan pendidikan berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

 

 

 

Sepanjang lawatan, para pelajar berpeluang mengunjungi Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa serta Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik bagi melihat sendiri kemudahan makmal, aktiviti pembelajaran serta penyelidikan yang dijalankan di kedua-dua pusat pengajian tersebut.

Pengarah Kampus ketika mengulas mengenai lawatan ini berharap agar ianya dapat memberi inspirasi kepada para pelajar untuk terus cemerlang dalam bidang STEM serta membuka minat mereka untuk melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia pada masa hadapan.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman