Skip to main content

KKTSS USM TERIMA KUNJUNGAN AKADEMIK UNIVERSITAS AL-AZHAR INDONESIA

NIBONG TEBAL, 18 Ogos 2026 - Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin (KKTSS), Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE) hari ini menerima kunjungan akademik daripada Universitas Al-Azhar, Indonesia.

Kunjungan tersebut diadakan bagi mengeratkan hubungan antara kedua-dua institusi, di samping meneroka peluang kerjasama dalam bidang akademik dan penyelidikan.

Kunjungan tersebut melibatkan Rektor, Profesor Madya Dr. Ir. Mawardi dari Bahagian Kejuruteraan Mekanikal serta Profesor Madya Yoga Tri Nugraga dari Bahagian Kejuruteraan Elektronik, Fakulti Kejuruteraan Universitas Al-Azhar.

 

Ketibaan kedua-dua wakil Universitas Al-Azhar itu disambut oleh Timbalan Dekan Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa PPKEE, Profesor Madya Ir. Dr. Rosmiwati Mohd Mokhtar bersama Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Industri-Komuniti, Profesor Madya Dr. Muhammad Nasiruddin Mahyuddin serta barisan Pengerusi Rancangan.

Sepanjang lawatan, kedua-dua pihak turut berkongsi maklumat berkaitan pengurusan program pengajian dan kurikulum, selain delegasi dibawa meninjau makmal serta kemudahan yang terdapat di PPKEE.

Lawatan tersebut turut membuka ruang kepada kedua-dua institusi untuk bertukar pandangan dan berkongsi pengalaman, sekali gus memperkukuh hubungan antara USM dan Universitas Al-Azhar.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman