Skip to main content

PPBLT KKTSS ANJUR BENGKEL INTENSIF “MUMTAZ” BAHASA ARAB UPKK

NIBONG TEBAL, 3 September 2026 - Bahagian Bahasa Asing, Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan (PPBLT), Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menganjurkan Bengkel Intensif “Mumtaz” Bahasa Arab UPKK.

Bengkel tersebut melibatkan 22 orang murid Tahun 5 dari sekitar Nibong Tebal dan Parit Buntar sebagai persediaan menghadapi peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK).

Bengkel yang dikendalikan oleh Ustaz Mohammad Najib Mat Basir itu memberi tumpuan kepada pengukuhan penguasaan kosa kata atau mufradat serta kemahiran menjawab soalan Bahasa Arab bagi membantu peserta membuat persediaan menghadapi peperiksaan dengan lebih sistematik.

Selain meningkatkan penguasaan bahasa, bengkel ini turut dirangka untuk mengasah kemahiran kognitif, memperkukuh literasi bahasa asing serta mengurangkan kesilapan lazim dalam kalangan calon ketika menjawab soalan peperiksaan.

 

Bagi membantu peserta mencapai sasaran gred A atau Mumtaz, peserta dibimbing secara interaktif menerusi tiga modul utama, iaitu “إِتقانُ المُفردات” yang memberi penekanan kepada penguasaan 50 kosa kata popular serta pengecaman Isim, Fi‘il dan Harf.

Modul kedua, “صانِع الجُمل”, memberi fokus kepada formula asas pembinaan ayat mudah, termasuk penggunaan bentuk Muzakkar dan Muannas, manakala modul “بطَل الاختبار” membimbing peserta dengan teknik menjawab soalan peperiksaan secara strategik.

Penganjuran bengkel ini mencerminkan komitmen PPBLT dalam menyumbang kepada pembangunan pendidikan komuniti setempat melalui penguasaan bahasa asing, di samping menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4: Pendidikan Berkualiti.

Program ini diharapkan dapat meningkatkan keyakinan diri peserta dalam menghadapi peperiksaan, di samping memupuk minat dan kecenderungan positif terhadap pembelajaran serta penguasaan bahasa asing.

Teks dan Foto: Ihsan Aida Shuhaida Mustafa, Guru Bahasa PPBLT KKTSS USM