KKTSS RANGKUL JOHAN PROGRAM JALAN LAJU 1,000 JALUR GEMILANG USM 2026

USM PULAU PINANG, 9 September 2026 - Kontinjen Jabatan Pendaftar dan Jabatan Bendahari dari Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin (KKTSS) merangkul Johan Program Jalan Laju (Brisk Walk) 1,000 Jalur Gemilang USM 2026 bersempena Sambutan Hari Malaysia yang berlangsung hari ini.
KKTSS muncul juara daripada 32 kontinjen yang mengambil bahagian dalam pertandingan jalan laju secara berkumpulan itu, melibatkan Kampus Induk, Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin serta Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB).
Program anjuran Jabatan Pendaftar Kampus Induk berkenaan merupakan aktiviti santai berbentuk pertandingan jalan laju dengan jarak laluan sejauh tiga kilometer mengelilingi kampus USM.
Penyertaan secara berkumpulan turut menekankan aspek kerjasama, keseragaman dan semangat berpasukan sepanjang laluan.

Kontinjen KKTSS diketuai oleh Ketua Penolong Bendahari dari Jabatan Bendahari, Ismail Jamaluddin, dan melibatkan 25 orang staf yang terdiri daripada sembilan staf Jabatan Pendaftar, 16 staf Jabatan Bendahari.
Menurut Ismail, kejayaan tersebut merupakan hasil komitmen, kerjasama dan semangat kebersamaan yang ditunjukkan seluruh anggota kontinjen sejak persiapan sehingga tamat program.
“Sebagai Ketua Kontinjen, saya amat terharu dan tersentuh melihat kesungguhan serta semangat kebersamaan semua staf yang sanggup meluangkan masa, berlatih dan memberikan yang terbaik demi pasukan,” ujar beliau.

“Alhamdulillah, segala usaha, penat lelah dan pengorbanan akhirnya berbaloi dengan kejayaan kita merangkul Johan. Kita menang bukan kerana seorang, tetapi kerana kita bergerak sebagai satu pasukan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua anggota kontinjen serta pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan penyertaan KKTSS.
Turut menghantar penyertaan dari KKTSS adalah Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti (JPPF) KKTSS.
Tempat kedua pertandingan dimenangi oleh Pusat Transformasi Digital Kampus Induk, manakala Bahagian Pengurusan Akademik Kampus Induk menduduki tempat ketiga.
Program Jalan Laju 1,000 Jalur Gemilang USM 2026 menjadi antara pengisian Sambutan Hari Malaysia di USM yang menghimpunkan warga universiti dalam suasana santai, sihat dan penuh semangat kebersamaan, selain menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan warga USM.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman