Skip to main content

PELAJAR OKU PENDENGARAN PILIH KKTSS USM, IBU BERHASRAT TUKAR TEMPAT BERTUGAS

NIBONG TEBAL, 19 September 2026 - Pendaftaran See An Na, 19, sebagai pelajar baharu Kejuruteraan Aeroangkasa di Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin (KKTSS), Universiti Sains Malaysia (USM), turut membawa bersama hasrat seorang ibu untuk berpindah lebih dekat demi terus memberikan sokongan kepada anak tunggalnya sepanjang pengajian.

Bagi Puan Chin Lee Lin, 50, yang bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Sung Siew, Sandakan, keputusan untuk mempertimbangkan pertukaran tersebut dibuat bagi memastikan anak beliau terus mendapat sokongan sepanjang menyesuaikan diri dengan kehidupan sebagai pelajar universiti.

Menurutnya, walaupun langkah itu memerlukan beliau meninggalkan tempat bertugas di Sabah, kebajikan serta keperluan anaknya tetap menjadi keutamaan.

“Saya bercadang untuk memohon pertukaran ke sekolah di Pulau Pinang supaya lebih dekat dengan anak dan dapat membantu serta menyokongnya sepanjang pengajian di USM,” katanya ketika ditemui sempena pendaftaran pelajar baharu KKTSS, hari ini.

See An Na yang merupakan pelajar Kurang Upaya (OKU) Pendengaran memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Aeroangkasa selepas tertarik dengan peluang dan persekitaran pembelajaran yang ditawarkan oleh USM.

Menurutnya, peluang untuk mengikuti pengajian dalam bidang yang diminatinya itu menjadi antara faktor utama beliau memilih USM sebagai destinasi pengajian tinggi.

 

Dalam pada itu, Puan Chin berkata beliau turut berasa lega apabila melihat sendiri persediaan dan sokongan yang disediakan oleh pihak universiti bagi membantu urusan pendaftaran serta kebajikan pelajar berkeperluan khas.

Katanya, layanan mesra warga kampus dan bantuan yang diberikan sepanjang proses pendaftaran memberikan keyakinan bahawa anaknya berada dalam persekitaran pembelajaran yang prihatin dan menyokong keperluan pelajar.

“Sebagai ibu, saya berasa gembira melihat kesungguhan pihak universiti membantu pelajar seperti anak saya. Ini memberikan keyakinan kepada saya untuk melepaskannya melanjutkan pengajian di sini,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Kampus KKTSS USM, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha mengucapkan tahniah kepada See An Na dan semua pelajar baharu yang memilih USM sebagai destinasi pengajian tinggi mereka.

Beliau berkata, KKTSS komited menyediakan persekitaran pembelajaran yang inklusif dan kondusif bagi menyokong pembangunan akademik serta sahsiah pelajar, termasuk mereka yang mempunyai keperluan khas.

Pada masa yang sama, beliau berharap para pelajar dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang yang tersedia sepanjang tempoh pengajian dan menghayati konsep HEBAT USM yang merangkumi Holistic (Holistik), Entrepreneurial (Keusahawanan), Balanced (Seimbang), Articulate (Artikulasi) dan Thinking (Berfikir) dalam membentuk diri sebagai graduan berkualiti. 

See An Na merupakan antara kira-kira 900 pelajar baharu yang dijangka mendaftar di KKTSS bagi Sidang Akademik 2026/2027, tidak termasuk pelajar antarabangsa serta pelajar Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE) yang beroperasi di Kampus Induk USM.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman