PENGARAH KKTSS GARISKAN LIMA PILAR KEJAYAAN BUAT 854 PELAJAR BAHARU KEJURUTERAAN USM

NIBONG TEBAL, 20 September 2026 - Seramai 854 pelajar baharu Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin (KKTSS), Universiti Sains Malaysia (USM) bagi Sidang Akademik 2026/2027 menghadiri sesi bersama Pengarah Kampus sempena Program Siswa Lestari, hari ini.
Dalam sesi tersebut, Pengarah Kampus, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha, berkongsi amanat dan panduan kepada mahasiswa baharu menerusi lima pilar utama sebagai persediaan mereka menempuh alam pengajian tinggi serta mencapai kecemerlangan sepanjang tempoh pengajian.
Mengulas aspek akademik, Mariatti mengingatkan mahasiswa bahawa kehidupan di universiti memerlukan motivasi kendiri yang tinggi berikutan kehadiran ke kuliah tidak dipantau secara ketat seperti di sekolah atau institusi matrikulasi.
Berdasarkan pengalaman selama 24 tahun sebagai pensyarah, beliau turut menekankan kepentingan membina prestasi akademik yang baik sejak semester pertama bagi membantu mahasiswa mengekalkan kecemerlangan sehingga tamat pengajian.
Seiring dengan perkembangan teknologi, mahasiswa juga digalakkan memanfaatkan Kecerdasan Buatan (AI) sebagai alat sokongan pembelajaran, termasuk aplikasi seperti NotebookLM yang disyorkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).


Namun, penggunaan AI perlu disertai sikap bertanggungjawab dengan menyemak kesahihan maklumat melalui buku teks, bahan akademik dan sumber yang sahih.
Selain kecemerlangan akademik, penglibatan aktif dalam persatuan, desasiswa dan aktiviti pusat pengajian turut disaran bagi membina kemahiran insaniah seperti komunikasi, pembentangan dan kerja berpasukan.
Pengalaman memegang jawatan dalam organisasi mahasiswa juga dapat menjadi nilai tambah kepada resume serta membantu mahasiswa mengumpul mata merit untuk penginapan dalam kampus.
“USM berhasrat melahirkan graduan HEBAT (Holistik, Keusahawanan, Seimbang, Artikulasi dan Berfikir) yang berakhlak mulia, berintegriti tinggi serta berbakti kepada negara, khususnya dalam memenuhi keperluan tenaga jurutera pada masa hadapan,” katanya.
Dalam membentuk mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, mereka turut diingatkan supaya mengamalkan budaya saling menghormati, termasuk terhadap rakan sebaya, staf, mahasiswa senior dan pensyarah.


Pada masa yang sama, mahasiswa digalakkan memanfaatkan peranan Penasihat Akademik bagi mendapatkan bimbingan berkaitan perancangan pengajian dan perkembangan akademik sepanjang berada di USM.
Menyentuh aspek integriti, Mariatti menegaskan bahawa pematuhan terhadap peraturan universiti dan kejujuran dalam peperiksaan merupakan perkara yang tidak boleh dikompromi.
Sebarang salah laku akademik, termasuk cubaan meniru atau penyalahgunaan teknologi dalam peperiksaan, boleh dikenakan tindakan tatatertib yang berat.
Beliau turut mengingatkan mahasiswa supaya tidak berdepan cabaran pengajian secara bersendirian, sebaliknya mendapatkan bantuan yang disediakan universiti sekiranya menghadapi masalah kewangan atau tekanan emosi.
Pada masa yang sama, mahasiswa disaran menghargai pengorbanan ibu bapa dan keluarga dengan memberikan komitmen terbaik serta berusaha menamatkan pengajian dalam tempoh empat tahun.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman