Skip to main content

CERAMAH KHAS PENCEGAHAN JENAYAH TINGKAT KESEDARAN MAHASISWA USM

NIBONG TEBAL, 6 Oktober 2026 - Pejabat Pengarah dan Pusat Rancangan Kokurikulum, Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin (KKTSS), Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan Ceramah Khas Pencegahan Jenayah kepada mahasiswa USM di sini hari ini.

Program yang melibatkan kira-kira 800 orang mahasiswa tahun satu ini diadakan bagi memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai aspek keselamatan diri serta langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa jenayah.

Ceramah berkaitan kesedaran keselamatan sosial, keselamatan dalam talian dan jenayah siber itu  disampaikan oleh Pegawai Penyiasat, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan (SPS), Pulau Pinang, Inspektor Mani Raj Muniandy.

Dalam ceramah tersebut, mahasiswa turut diberikan penerangan mengenai risiko yang perlu diberi perhatian ketika menggunakan internet dan media sosial, termasuk penipuan dalam talian serta jenayah siber.

Selain itu turut disampaikan adalah taklimat berkaitan Volunteer Smartphone Patrol (VSP) yang disampaikan oleh Inspektor Muhammad Helmi Zainudin Ketua Cawangan OP/KSS, Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKKD), IPD SPS.

Taklimat tersebut memberi penerangan kepada mahasiswa mengenai VSP serta peranannya dalam membantu masyarakat menyalurkan maklumat berkaitan keselamatan dan kejadian jenayah kepada pihak polis.

Dalam ceramah tersebut, mahasiswa turut diberikan penerangan mengenai risiko yang perlu diberi perhatian ketika menggunakan internet dan media sosial, termasuk penipuan dalam talian serta jenayah siber.

Pendedahan seperti ini penting khususnya kepada mahasiswa tahun satu yang baru memulakan kehidupan di kampus supaya mereka lebih peka terhadap keselamatan diri dan persekitaran serta berhati-hati ketika menggunakan platform dalam talian.

Program ini diharap dapat membantu mahasiswa meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai pencegahan jenayah serta mengambil langkah yang sewajarnya bagi menjaga keselamatan diri sepanjang berada di kampus.

Teks: Nor Hidayati Zolkornain (Pelajar Latihan Industri Pejabat Pengarah, Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin) / Gambar: Muhammad Taufik Abdul Rahman