487 PELAJAR USM SERTAI TAKLIMAT PENCEGAHAN JENAYAH DAN KESELAMATAN KKTSS

NIBONG TEBAL, 14 Oktober 2026 - Seramai 487 pelajar Tahun Satu hingga Tahun Empat Universiti Sains Malaysia (USM) menyertai Program Taklimat Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Kampus di Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin (KKTSS), USM pada 12 Oktober baru-baru ini.
Program anjuran Pejabat Pengarah dengan kerjasama Pusat Rancangan Kokurikulum KKTSS ini melibatkan pelajar daripada 25 kursus kokurikulum.
Program ini merupakan sesi kedua penganjuran taklimat seumpamanya selepas sesi pertama yang telah berlangsung pada 6 Oktober 2026, melibatkan 800 orang pelajar Tahun Satu.
Taklimat disampaikan oleh Ketua Cawangan OP/KSS, Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan, Inspektor Muhammad Helmi Zainudin.
Beliau berkongsi maklumat mengenai trend dan modus operandi jenayah semasa, khususnya yang boleh menjejaskan golongan muda. Antara yang diberikan perhatian ialah penipuan dalam talian, phishing, penipuan jual beli, tawaran pekerjaan palsu, skim pelaburan tidak wujud dan buli siber.
Pelajar turut diberi penerangan mengenai langkah keselamatan diri yang perlu diamalkan di kampus. Antaranya termasuk sentiasa peka terhadap persekitaran, memastikan bilik kediaman dan kenderaan berkunci serta mengelakkan pergerakan bersendirian di kawasan sunyi.


Selain itu, mereka diingatkan supaya menjaga barangan peribadi dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa jenayah.
Taklimat turut menyentuh jenayah harta benda, penyalahgunaan dadah, pergaduhan dan gangguan seksual serta tindakan yang perlu diambil apabila berhadapan dengan situasi berkenaan.
Bagi membantu pelajar bertindak dengan pantas ketika kecemasan, mereka turut diberikan maklumat mengenai saluran bantuan dan pelaporan. Saluran tersebut termasuk Talian Kecemasan 999, Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) 997 dan Unit Keselamatan Kampus.
Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran pelajar terhadap risiko jenayah serta membekalkan pengetahuan asas untuk melindungi diri dan orang sekeliling. Pendedahan tersebut juga diharap dapat menggalakkan pelajar memainkan peranan dalam menjaga keselamatan kampus.
Melalui kerjasama universiti dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), program ini menekankan kepentingan kewaspadaan serta tindakan pencegahan dalam kalangan warga kampus bagi mewujudkan persekitaran yang selamat dan kondusif untuk pembelajaran.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman