Skip to main content

PRA-PELANCARAN REICP: KERJASAMA STRATEGIK PPKA - SRS CONSORTIUM PERKASA KEBOLEHPASARAN GRADUAN DALAM INDUSTRI REL

NIBONG TEBAL, 13 Oktober 2026 - Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam (PPKA), Universiti Sains Malaysia (USM), dengan kerjasama strategik SRS Consortium Sdn. Bhd. (SRSC), hari ini telah menganjurkan program Pra-Pelancaran Railway Engineering Industry Collaboration Programme (REICP).

Program di bawah Program Peningkatan Kemahiran Sektor Awam (PERKASA) itu telah mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran lebih 400 pelajar serta staf akademik PPKA.

Majlis pra-pelancaran tersebut turut menampilkan ceramah industri bertajuk “Railway Engineering: The Civil Engineer’s Legacy in Modern Rail Infrastructure Projects” yang disampaikan oleh Dato’ Adil Putra Ahmad, Pengarah Projek, SRS Consortium Sdn. Bhd.

Perkongsian ini memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai peranan penting jurutera awam dalam pembangunan infrastruktur rel moden, di samping membuka perspektif tentang peluang kerjaya dan keperluan kompetensi dalam industri rel.

Dirancang sejak awal tahun 2024, REICP merupakan program pensijilan pertama yang dibangunkan hasil kerjasama strategik antara PPKA dan SRSC. Inisiatif ini menjadi satu pencapaian penting dalam usaha kedua-dua pihak memperkukuh hubungan akademia–industri serta membangunkan kompetensi profesional dalam bidang kejuruteraan rel di Malaysia.

REICP mengintegrasikan kepakaran industri dengan pembelajaran berasaskan pengalaman melalui seminar, bengkel, sesi bimbingan dan lawatan tapak. Modul latihan yang ditawarkan merangkumi sistem dan infrastruktur rel, reka bentuk, pembinaan, keselamatan, teknologi digital, pengurusan projek serta kelestarian.

Dengan komitmen pelaburan sebanyak RM440,000 daripada SRSC bagi tempoh 2026 hingga 2030, program ini dijangka dapat memperkukuh pengetahuan teknikal, kemahiran praktikal dan kompetensi profesional pelajar PPKA, sekali gus meningkatkan tahap kesiapsiagaan kerjaya serta kebolehpasaran graduan.

Pelaksanaan REICP turut mencerminkan komitmen berterusan PPKA dalam memperluas kerjasama strategik bersama industri bagi melahirkan graduan kejuruteraan awam yang kompeten, berdaya saing dan bersedia memenuhi keperluan pembangunan sektor rel serta pengangkutan negara.

Teks dan Foto: Ihsan Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam