Skip to main content

PPBLT USM DENGAN PPD KERIAN METERAI SINERGI STRATEGIK MEMPERKASAKAN KEMAHIRAN BERTUTUR CALON SPM 2026

NIBONG TEBAL, 14 Okt - Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan (PPBLT) Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, Universiti Sains Malaysia (USM) memperkukuh sinergi strategik bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kerian menerusi penganjuran Bengkel Kecemerlangan Bahasa Melayu SPM 2026 yang memfokuskan pemantapan Ujian Bertutur.

Program jaringan komuniti dan pemindahan kepakaran akademik ini mengumpulkan seramai 63 orang murid serta 21 orang guru pengiring dari sekolah menengah sekitar Daerah Kerian.

Inisiatif ini dianjurkan khas bagi memberikan bimbingan praktikal dan terarah untuk meningkatkan penguasaan lisan murid, khususnya dalam aspek penyampaian idea, kelancaran komunikasi, keupayaan pembentangan, dan pembinaan keyakinan diri.

Menerusi pengisian utama bengkel, Guru Bahasa, Aida Shuhaida Mustafa menyampaikan taklimat bertajuk “Kemahiran Bertutur Murid Cemerlang Berpandukan Modul KIS”.

Slot berkenaan membekalkan murid dengan pendekatan serta strategi komprehensif bagi menghasilkan penyampaian lisan yang berstruktur dan berimpak tinggi.

Bagi mengukuhkan pemahaman serta penglibatan aktif, modul interaktif “Sepakat, Fikir dan Kongsi” turut dijalankan bawah kendalian dua orang guru bahasa iaitu Shamin Sharif dan Mohammad Aliff Naim Mat Rani.

Aktiviti ini membimbing murid menjana idea secara individu, berdiskusi dan berkongsi pandangan bersama rakan, seterusnya mencapai kesepakatan sebelum membentangkan hasil pemikiran secara lisan.

Pendekatan pembelajaran aktif ini memberi peluang kepada para peserta untuk mengaplikasikan teknik komunikasi yang dipelajari dalam suasana pembelajaran yang kondusif, sekali gus memupuk keberanian untuk menyampaikan hujah secara jelas, lancar, dan matang.

Kolaborasi ini mencerminkan komitmen berterusan USM dalam menyokong pembangunan pendidikan pada peringkat sekolah, di samping memastikan calon-calon membuat persediaan rapi menjelang Ujian Bertutur SPM 2026 demi melonjakkan kecemerlangan gred mata pelajaran Bahasa Melayu pada peringkat daerah.

Teks dan Foto: Ihsan Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan KKTSS USM