DARIPADA JURUTERA KEPADA CEO: OSK PROPERTY KONGSI PENGALAMAN KERJAYA BERSAMA PELAJAR PPKA

NIBONG TEBAL, 16 Oktober 2026 - Seramai 90 pelajar Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam (PPKA), Universiti Sains Malaysia (USM), menyertai ceramah industri “Building Your Career Path in the Property Development Industry” yang menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Hartanah OSK Property, Chu Wai Lune hari ini.
Program tersebut menampilkan Chu Wai Lune, yang berkongsi perjalanan kerjayanya daripada seorang jurutera sehingga menerajui organisasi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).
Menerusi perkongsian bertemakan “From Engineer to CEO”, beliau memberikan gambaran tentang industri pembangunan hartanah serta kepentingan pengalaman teknikal, kemahiran kepimpinan dan keupayaan pengurusan dalam perkembangan kerjaya profesional.
Pelajar yang menyertai program tersebut terdiri daripada pelajar tahun akhir Kejuruteraan Awam, yang berpeluang memahami pelbagai laluan kerjaya bagi graduan kejuruteraan, termasuk dalam bidang pembangunan hartanah, pengurusan projek dan pembinaan.


Selain perkongsian kerjaya, program turut merangkumi pengenalan kepada OSK Group dan OSK Property, sesi dialog, soal jawab serta aktiviti interaktif yang membolehkan pelajar berinteraksi secara langsung dengan wakil industri.
Penganjuran program ini mencerminkan usaha berterusan PPKA dalam memperkukuh hubungan universiti dengan industri, khususnya bagi memberikan pendedahan kepada pelajar tentang aplikasi pengetahuan akademik dan kemahiran yang diperlukan dalam alam pekerjaan.
Inisiatif seumpama ini turut menyokong usaha USM melahirkan graduan yang bukan sahaja memiliki asas teknikal yang kukuh, malah bersedia menyesuaikan diri dengan keperluan industri yang sentiasa berkembang.
Teks dan Foto: Ihsan Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam