Skip to main content

JVR SELFHEAL TYRE USM DIUJI DUA JAM DALAM PEMANDUAN EKSTREM

BERANANG, 23 Oktober 2026 - Tayar motosikal teknologi sembuh sendiri, JVR Selfheal Tyre hasil penyelidikan Universiti Sains Malaysia (USM), menjalani ujian ekstrem selama dua jam tanpa henti di Horizon Beranang Circuit, Selangor, bagi menilai prestasinya dalam keadaan pemanduan sebenar.

Penyelidikan yang diterajui Profesor Madya Dr. Raa Khimi Shuib dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral itu menggunakan teknologi getah sembuh sendiri (self-healing rubber) yang dibangunkan untuk aplikasi tayar motosikal.

Ujian kendalian pasukan MotoWazi yang diketuai Dr. Wazi Abdul Hamid itu turut melibatkan pelumba profesional negara dan juara Asia, Md Zaqhwan Zaidi, Azroy Hakeem Anuar, Suhaidi Ali Rahma dan Md Afiq Md Hamdan.

Dalam sesi berkenaan, tayar yang telah dipancitkan turut digunakan untuk menguji keupayaan teknologi tersebut.

Berdasarkan maklum balas pelumba yang terlibat, JVR Selfheal Tyre menunjukkan cengkaman dan kestabilan yang baik, dengan prestasi yang disifatkan setanding dengan jenama tayar antarabangsa terkenal.

Program itu turut dihadiri wakil Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Malaysian Rubber Council (MRC) serta rakan kolaborasi industri, Everthrough Rubber Product Sdn. Bhd.

Ujian tersebut menjadi antara langkah menilai potensi aplikasi teknologi getah sembuh sendiri dalam pembangunan tayar motosikal, selain membuka ruang kepada kerjasama penyelidikan dan industri untuk mengembangkan inovasi berasaskan getah tempatan.

Teks: Ihsan Profesor Madya Dr. Raa Khimi Shuib / Gambar: Ihsan Meor Mohamad Noh Abdul Majid