RIUH BENDANG, LINCAH SARONG: SUKAN RAKYAT 2.0 SATUKAN JIWA KAMPUNG DAN KAMPUS KEJURUTERAAN
PENAGA, 20 April 2025 – Program Sukan Rakyat Sarong 2.0 anjuran Majlis Penghuni Desasiswa Jaya Lembaran Utama (MPDJLU), Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kejuruteraan, berjaya menarik penyertaan 800 orang peserta merangkumi pelajar USM Kampus Kejuruteraan dan Kampus Induk.
Bertemakan ‘Sarong’, program yang berlangsung dari 19 dan 20 April 2025 ini mendapat kerjasama daripada Jawatankuasa Pengurusan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Lahar Tabut, Pusat Islam Kampus Kejuruteraan, Unit Kesihatan USM, Koperasi Kelab Kebajikan & Sukan Staf Kampus Kejuruteraan (KKSSK), Komuniti Desa Madani Lahar Tabut, Jawatankuasa Belia Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Seberang Perai, Angkatan Bomba dan Penyelamat Kawasan Kepala Batas, Hospital Kepala Batas dan Polis Daerah Seberang Perai Utara.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Yang Berhormat Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican, yang mana dalam ucapannya menekankan kepentingan memelihara budaya warisan melalui penglibatan belia dan pelajar.
“Program seperti Sukan Rakyat Sarong ini bukan sahaja memelihara tradisi, malah memperkukuhkan semangat perpaduan antara pelbagai generasi," ujar beliau.
Penggawa Desasiswa Jaya Lembaran Utama yang juga Penasihat Program, Hasliza Mat Saad, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua pihak dan individu yang telah bekerjasama serta terlibat dalam menjayakan Program Sukan Rakyat Sarong 2.0 ini.
Bagi beliau, program ini bukan sahaja menjadi platform untuk sukan dan hiburan, tetapi turut berfungsi sebagai jambatan penghubung antara universiti dan masyarakat.
“Dengan sokongan kukuh daripada semua pihak, Sukan Rakyat Sarong 2.0 berjaya menjadi manifestasi kepada usaha melestarikan warisan bangsa sambil menyemarakkan semangat kekitaan dan kasih sayang komuniti,” ujarnya.
“Ia bukan sekadar sebuah program, tetapi satu perjalanan untuk terus menghidupkan warisan, membina ukhuwah, dan mencipta kenangan yang akan terus mekar dalam jiwa semua yang terlibat,” tambah beliau.
Sementara itu, Pengarah Projek, Nur Irsalina Khadafi (20), pula berkata, program ini juga bertujuan untuk menggalakkan gaya hidup sihat, mengukuhkan hubungan mahasiswa dengan komuniti, serta menerapkan nilai budaya serta tradisi dalam aktiviti berasaskan sukan.
Program pada hari pertama dimulakan dengan aktiviti gotong-royong dan persiapan lokasi bersama ahli jawatankuasa setempat sebelum disusuli dengan aktiviti Ziarah Kasih, melibatkan penyerahan sumbangan makanan asas kepada 17 keluarga terpilih dari Kampung Permatang Pak Maras, Kampung Permatang Kuala, Kampung Penaga Dua dan Kampung Permatang Berah.
Kemuncak program adalah pada hari kedua yang menampilkan 17 acara sukan rakyat berlatarkan suasana kampung tradisional di kawasan bendang dan darat seperti tarik tali bendang, bola baling bendang, musang berjanggut, boling kelapa, tuju selipar, tangkap ikan keli, serta tangkap itik.
Turut hadir memeriahkan acara ialah Pengerusi Jawatankuasa JPKKP Lahar Tabut, Encik Sanusi Ahmad dan Pegawai Penyelaras KADUN Penaga, Ustaz Mohd Naim Haji Salleh.
Teks Azriq Rashid Hussin (Pelajar Kampus Kejuruteraan USM)/Foto: Nur Amirah Mohd Fauzi (Pelajar Kampus Kejuruteraan USM)