STAF, MAHASISWA, ALUMNI USM TAWAN PUNCAK YONG YAP
CAMERON HIGHLANDS, 27 Ogos 2016, sekumpulan staf, pelajar dan alumni Universiti Sains Malaysia telah berjaya menawan puncak Gunung Yong Yap pada ketinggian 2,167 m dari aras laut dan salah satu dari 7 puncak tertinggi di Semenanjung Malaysia (G7). Projek yang mula dirancang oleh sekumpulan staf dari Kampus Kejuruteraan ini telah berjaya mengumpulkan beberapa ahli dari ketiga-tiga kampus utama USM yang turut disertai oleh beberapa alumni dari kampus ini.
Projek yang mula dirancang seawal bulan Mei yang lalu dicetuskan oleh beberapa orang staf dari Kampus Kejuruteraan yang turut meminati sukan "outdoor" pendakian yang biasanya dianjurkan oleh mahasiswa dan mahasiswi program kejuruteraan. Pada kebiasaannya, projek yang dianjurkan oleh pelajar hanya dikhaskan kepada pelajar dan tiada sebarang hebahan dilakukan untuk mendapatkan penyertaan daripada staf di kampus ini. Oleh itu projek "Training TRANS CHAMAH-ULU SEPAT" ini direalisasikan dengan mengumpulkan beberapa ahli yang terdiri dari staf Unit Kesihatan, Jabatan Pembangunan, Unit Sukan HEPA dan staf Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Kampus Kejuruteraan. Hebahan juga turut dibuka kepada alumni kejuruteraan yang telah berkhidmat di beberapa industri di sekitar Pulau Pinang dan Lembah Klang. Tidak dilupakan juga, seorang wakil masing-masing dari Kampus Induk dan Kampus Kesihatan yang turut bersama-sama dalam projek ini.
Perjalanan yang bermula pada malam hari Khamis, 25 Ogos 2016 ke Tanah Tinggi Cameron itu memakan masa lebih kurang 3 jam dari Kampus Kejuruteraan Nibong Tebal. Setelah tiba di Masjid Jamek Kampung Raja seawal pukul 1:30 pagi, beberapa orang peserta mula mengagihkan barangan makanan dan keperluan untuk berkhemahan selama 3 hari 2 malam dalam usaha untuk menawan puncak Yong Yap. Beberapa orang peserta yang lain turut menyediakan juadah untuk sarapan pagi dan makan tengah hari pada hari pertama pendakian.
Setelah mendapat keizinan daripada pihak masjid, para peserta cuba untuk mendapatkan rehat yang secukupnya di kawasan masjid sebelum menempuh hari pertama pendakian. Azan Subuh yang dilaungkan pada sekitar pukul 6 pagi, mengejutkan para pendaki untuk mula menyiapkan diri dan bersiap sedia menuju ke Sekolah Rendah Kebangsaan Kampung Raja, yang menjadi "checkpoint" pertama untuk menaiki kereta pacuan 4 roda ke perkampungan orang asli di Pos Brooke, Loging yang bersempadan dengan negeri Kelantan. Setelah tiba di perkampungan orang asli, para peserta diberikan sedikit taklimat oleh pemandu arah sebelum memulakan pendakian pada hari pertama.
Perjalanan yang mengambil masa lebih kurang 4 jam ke "checkpoint" pertama di kawasan perkhemahan Sungai Y-Besar membawa peserta mengharungi 5 batang sungai besar dengan perjalanan meredah laluan hutan tebal pada keadaan cuaca yang agak dingin pada pagi itu. Setibanya di "checkpoint" pertama pada sekitar pukul 12 tengah hari, para pendaki berehat seketika untuk menjamah juadah makan tengah hari yang telah disediakan pada sebelah paginya. Setelah hampir setengah jam, perjalanan diteruskan kembali untuk ke "checkpoint" yang seterusnya iaitu ke kawasan perkhemahan Kem Agas pada ketinggian 1200 m dari aras laut.
Pendaki terakhir tiba di Kem Agas pada sekitar pukul 5 petang dan mula mendirikan khemah untuk bermalam. Hari pertama pendakian yang mengambil masa lebih kurang 8 jam itu hanya menempuh laluan hutan tebal dan beberapa batang sungai besar serta sedikit pendakian curam. Setelah selesai mendirikan khemah, peserta-peserta lain mula untuk menyediakan juadah makan malam. Suasana malam di Kem Agas, hitam pekat dan peserta hanya berbekalkan lampu suluh "headlamp" bagi menguruskan diri masing-masing. Deruan air sungai bersebelahan dengan kawasan perkhemahan, memecah keheningan pada malam itu. Sebelum para peserta bersiap sedia untuk berehat, jurupandu arah, saudara Emay dari pasukan Silver Outdoor Sports (SOS) sempat berpesan kepada peserta untuk bersedia lebih awal pada keesokan hari, iaitu seawal pukul 5 pagi bagi menyediakan sarapan pagi serta makan tengah hari pada hari kedua pendakian.
Pada tanggal 27 Ogos, bermulalah pendakian para peserta ke puncak Gunung Yong Yap yang berada pada paras ketinggian 7,110 kaki dari aras laut. Walaupun pendakian dilakukan secara "free-body climb" kerana peserta tidak bermalam di kawasan puncak, tetapi tahap kesukaran pendakian pada sudut 90 darjah tidak dapat dinafikan oleh kesemua peserta misi ini. Seperti kata pepatah, "kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya". Perjalanan dari Kem Agas mengambil masa selama lebih kurang 5 jam untuk tiba ke puncak Yong Yap dengan setengah jam berehat untuk makan tengah hari di Kem Balak. Kesemua peserta tiba di puncak pada pukul 1 tengah hari dengan suhu pada ketika itu mencecah 15 darjah Celsius dengan tiupan angin di kawasan pergunungan yang kadang kala boleh menurunkan lagi suhu di kawasan puncak itu. Para pendaki kemudiannya melepaskan keletihan dengan mengambil gambar keindahan flora gunung serta permandangan di sekitar puncak yang berlatar belakangkan beberapa gunung G7 lain di Semenanjung seperti Korbu, Gayong dan Yong Belar yang saling berhadapan di antara satu sama lain. Gunung-gunung lain yang jelas kelihatan apabila kepulan awan kembali membuka "tirai"nya termasuklah Gunung Bubu dan Gunung Tok Nenek yang bersebelahan dengan puncak Yong Yap. Tiada sebarang perasaan lain yang dapat digambarkan oleh semua peserta projek melainkan bersyukur kehadrat Ilahi kerana telah memberi kekuatan untuk menikmati keindahan alam ciptaan-Nya yang hanya boleh dinikmati oleh segelintir mereka yang cekal dan berani mencabar diri.
Setelah hampir 2 jam berada di puncak, peserta kemudiannya bersiap sedia untuk turun kembali ke Kem Agas bagi mengelakkan suasana gelap jika tiba selepas pukul 8 malam. Perjalanan menuruni lereng-lereng bukit agak laju jika dibandingkan dengan perjalanan ke puncak. Semua peserta tiba di Kem Agas pada pukul 7:30 malam dan kemudiannya membersihkan diri untuk menyediakan juadah makan malam. Suasana pada malam itu agak riuh kerana kawasan perkhemahan ditambah dengan kumpulan pendaki dari negeri Selangor seramai 29 orang.
Hari ketiga bermula agak lewat, iaitu pada pukul 6 pagi. Persiapan membersihkan kawasan perkhemahan dilakukan di samping ada beberapa ahli yang sibuk menyediakan sarapan pagi. Para pendaki siap menguruskan diri dan bersedia untuk turun ke Pos Brooke pada pukul 10 pagi. Perjalanan turun mengambil masa selama lebih kurang 6 jam di mana peserta sempat singgah di air terjun "tersepit" untuk menikmati keindahan air terjun yang masih belum dicemari oleh sebarang kerakusan manusia.
Tepat pukul 4 petang, semua peserta tiba di Pos Brooke untuk menunggu kenderaan pacuan 4 roda untuk kembali ke Sekolah Rendah Kebangsaan Kampung Raja.
Jika dilihat di Kampus Kejuruteraan, tidak ramai alumni yang kembali menyumbang kepada universiti melainkan dengan mengadakan aktiviti-aktiviti seumpamanya. Adalah diharapkan agar projek seperti ini dapat diadakan dengan lebih kerap bagi mengeratkan ukhuwah persaudaraan di antara staf, pelajar dan alumni Universiti Sains Malaysia terutamanya dari Kampus Kejuruteraan.
"Beyond Boundaries, Embracing Sustainability"
Peserta Projek
- Mohd Fadzley Hassan (Penganjur-USM)
- Mohamad Hekarl Uzir (USM-Kejuruteraan Kimia)
- Rosmanizam Salehhoddin (USM-Pembangunan)
- Norhasnira Harun (USM-Pusat Kesihatan)
- Khairul Zaman Zakaria (Polimer-USM)
- Muhammad Hazwan Muhammad Hisham (Alumni-Polimer)
- Syafiq Hamizan Abd Muan (Alumni-Polimer)
- Azrul Zhafran Azreezul (Mekanik-USM)
- Syed Mohamad Fikri Syed Mansor (Alumni-Perubatan)
- Mohd Nor Hafiz Arjunaiti (Alumni-Aeroangkasa)
- Muhammad Ali Zulhazim Rosli (Kajihayat-USM)
- Muhammad Azzim Azme (Mekanik-USM)
- Aliff Danial Zulkifli (Mekanik-USM)
Teks: Mohamad Hekarl Uzir
Foto: Khairul Zaman Zakaria, Mohd Hazwan Hisham, Syed Mohamad Fikri Syed Mansor, Mohd Nor Hafiz Arjunaiti