Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

FASA PERMULAAN KEMBARA PENYELIDIKAN PROFESOR DATO’ DR. AHMAD FARHAN MOHD SADULLAH

25 September 2023

Masalah pengangkutan di Malaysia sekitar 28 tahun yang lalu, memang telah menjadi minat dan menarik perhatian sejak saya berada di alam universiti lagi.
“MASALAH pengangkutan di Malaysia perlu diselesaikan,” tekad saya, walaupun masih bergelar calon Doktor Falsafah pada ketika itu.

Masalah tersebut cuba diselesaikan sebaik saya menyelesaikan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di London pada tahun 1995. Rancangan jangka panjang mula dikenalpasti dan ianya dikukuhkan dengan merebut setiap peluang yang datang sepanjang meniti kerjaya profesional selepas itu. Titik-titik kelemahan yang wujud di Malaysia dari aspek asas bidang pengangkutan itu sendiri turut dikenalpasti sehingga munculnya peluang-peluang baharu berlandaskan kepada sistem pengangkutan yang lebih lestari selepas itu. Pendekatan kerangka (framework approach) yang memang menjadi kaedah saya dari dulu sehingga sekarang.

Sebagai pensyarah dalam bidang pengangkutan, saya kemudiannya meneruskan minat penyelidikan dalam bidang Kelakuan Perjalanan (Travel Behaviour), iaitu aspek utama dalam menentukan Permintaan Pengangkutan (Transport Demand).

WhatsApp Image 2023 09 25 at 9.17.01 AM

“Bagi saya, untuk mewujudkan sistem pengangkutan yang seimbang (equilibrium), kita perlu meramal aspek permintaan dengan lebih tepat sebelum penawaran (supply) yang sesuai dapat disediakan,”.

Penawaran sistem pengangkutan di Malaysia, sama ada untuk jalanraya, sistem bas mahupun sistem rel, pada tahun 1995, masih ketinggalan. Terutamanya berkenaan piawaian dan garis panduan reka bentuk yang digunakan oleh perancang serta jurutera jurutera awam dan pengangkutannya. Malah, saya sedar bahawa matlamat besar ini tidak mungkin dapat dilaksanakan dalam skala yang kecil, ianya memerlukan usaha menyeluruh di seluruh negara.

Bahagian Perancang Jalan (BPJ) Kementerian Kerja Raya seterusnya dihubungi untuk melihat potensi penajaan untuk projek permodelan penjanaan perjalanan yang penting untuk perancangan dan pemodelan pengangkutan. Rezeki kami apabila pihak BPJ pada pada ketika itu sedang bersedia untuk melaksanakan projek di bawah tujuan yang sama. Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam USM (PPKA) kemudiannya dilantik sebahagian daripada projek tersebut bersama-sama dengan dua syarikat perunding lain iaitu Redhawi Mustafa Sdn Bhd dan Perunding Atur Sdn Bhd. Penglibatan kami telah memberi nilai tambah kepada projek yang dijalankan. Kemuncaknya kerjasama ini adalah bila mana Manual Penjanaan Perjalanan Malaysia yang pertama berjaya diterbitkan dan seterusnya digunakan oleh semua pihak yang perlu menganggar Penjanaan Perjalanan untuk sebarang pembangunan baharu di Malaysia selepas itu. Ianya juga merupakan satu langkah penting dalam memenuhi keperluan Kajian Impak Lalu Lintas.

WhatsApp Image 2023 09 25 at 12.18.26 PM WhatsApp Image 2023 09 25 at 12.18.26 PM 1

Seiringan dengan usaha ini, kami 4 orang pensyarah Kejuruteraan Pengangkutan dan Lebuhraya di Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam (PPKA) juga merupakan perintis dan penggerak utama dalam memperkenalkan Garis panduan Penyediaan Kajian Impak Lalu Lintas di Malaysia.  Sejak tahun 1999, selaku kumpulan penyelidik, kami telah berjaya mengatasi satu lagi kelemahan dalam sistem pengangkutan Malaysia. Manual ini pula kemudiannya telah ditambahbaik menjadi Road Engineering Association of Malaysia (REAM) TIA Manual dan kini telah menjadi Arahan Teknik Jalan JKR dan dijadikan rujukan mandatori oleh Jabatan Kerja Raya (JKR). Arahan Teknik Jalan ini telah menjadi penentu kepada hasil trafik yang dilaksanakan oleh semua perancangan pembangunan baharu di Malaysia.  

Melalui penyelidikan ini juga, PPKA telah diamanahkan kepercayaan yang lebih besar oleh BPJ untuk menghasilkan Manual Penjanaan Perjalanan Malaysia versi dua pada tahun 2006 dan versi tiga pada tahun 2010. Setiap satunya bernilai hampir RM2 juta dan sampel pelbagai jenis guna tanah dari seluruh negara telah digunakan. Usaha ini telah membantu mewudkan pembangunan yang lebih terancang di Malaysia. Ianya bukan sahaja efektif malah dapat menjadi sokongan kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan Rakyat Malaysia. Sesungguhnya, pembangunan, jika diuruskan dengan baik dapat mengurangkan kesan-kesan negatif lalu lintas, terutamanya dalam persekitaran projek itu sendiri. Usaha yang dilaksanakan ini menjadi pemacu utama kelestarian terutamanya dalam bidang pengangkutan di Malaysia di samping mempastikan aktiviti-aktiviti pembangunan negara terus mengikuti prinsip pembangunan mapan. Penyelidikan dan tanggungjawab seorang ilmuan penting dan kami di PPKA melalui usaha kami ini telah berjaya memenuhi keperluan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 9 iaitu Industri, Inovasi Dan Infrastruktur di samping membantu beberapa lagi SDG lain.

Menggunakan pengalaman awal ini, dan dengan izin Allah, saya berjaya merebut peluang bersama rakan rakan di PPKA dan pusat pengajian lain untuk menyelesaikan masalah masalah pengangkutan lain di Malaysia.

WhatsApp Image 2023 09 25 at 9.17.02 AM

Antara fokus penyelidikan yang saya turut terlibat adalah:

i. Membantu menentukan perkara asas mengenai kapasiti jalan raya di Malaysia melalui dua projek Kajian Kapasiti Jalan Raya Malaysia untuk BPJ yang telah menghasilkan dua manual kapasiti jalan raya Malaysia. Manual ini kini dirujuk oleh Jurutera lalu lintas dan jalan raya di Malaysia.

ii. Membantu merungkai masalah keselamatan jalan raya Malaysia. Permulaan minat dan fokus dalam bidang ini bermula apabila saya di lantik sebagai Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS). Sekarang ini di penghujung kerjaya akademik saya, penyelidikan dalam bidang ini menjadi fokus utama saya di samping masih melakukan penyelidikan dalam bidang fokus lain.

iii. Mencari kaedah untuk meningkatkan keberkesanan pengangkutan awam di Malaysia. Minat dalam pengangkutan awam ini sebenarnya bermula awal di peringkat kajian di Sarjana dan Doktor Falsafah. Peluang mendalami bidang ini terbuka luas apabila saya dilantik sebagai Ahli Pesuruhjaya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat Malaysia (SPAD) pada tahun 2009. Inilah impian semua penyelidik dan ahli akademik, kerana kepakaran, ilmu dan hasil penyelidikan kami dapat diguna terus melalui dasar dan strategi yang boleh dilaksana di seluruh negara kerana SPAD adalah entiti yang bertanggungjawab untuk pengangkutan awam dan pengangkutan perdagangan di Malaysia

iv. Membantu menjadikan pengangkutan lebih mesra alam melalui kerja kerja dalam sistem pengangkutan pintar, mobiliti rendah karbon dan untuk pengangkutan mapan secara keseluruhan.

Alhamdulillah 28 tahun kembara penyelidikan saya sedikit sebanyak telah memberi kesan positif kepada sistem pengangkutan negara. Namun, masih banyak isu lama, sedia ada dan baharu yang perlu diselesaikan. Saya berharap semua anak didik saya, rakan-rakan penyelidik dan para profesional lain akan berganding bahu berusaha menjadikan sistem pengangkutan di Malaysia terus lestari demi membantu masa hadapan kita semua.

DatoFarhan