Skip to main content

PENANDATANGANAN MoU USM-MINCONSULT PERKASAKAN KUALITI PENDIDIKAN DAN TENAGA MAHIR DALAM BIDANG KEJURUTERAAN

DSC 9898

NIBONG TEBAL, 29 Julai 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam (PPKA) hari ini telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Minconsult Sdn. Bhd. bagi memperkasakan lagi kualiti pendidikan dan tenaga mahir bidang kejuruteraan.

Dalam acara tersebut, Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Datin Dr. Azlina Harun @ Kamaruddin, mewakili Naib Canselor USM optimis akan kerjasama yang akan berlangsung antara kedua belah pihak ini di masa akan datang.

“Hari ini, USM sekali lagi secara rasminya akan melebarkan jaringan kerjasama dengan pihak industri sebagai usaha bagi mempromosikan, membangunkan dan menubuhkan program penyelidikan, pendidikan serta latihan dalam bidang yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” kata Azlina.

DSC 9834 DSC 9860

“Sebagai sebuah universiti yang terbilang, khusunya dalam bidang Sains, Kejuruteraan dan Teknologi, USM sentiasa komited serta proaktif dalam memperkasakan penyelidikan, pembangunan dan kepakaran teknikalnya,” kata beliau.

Tambah beliau, USM turut didorong oleh program Inkubator Penyelidikan dan Serap Industri Kementerian Pendidikan Tinggi (MRI3) yang yang menjadi salah satu pemacu utama kepada inisiatif ini.

“Ianya merupakan sebuah inisiatif yang direka bentuk dengan matlamat khusus untuk melahirkan bakat sedia industri (Industry-ready Talent) demi memenuhi keperluan industri," katanya yang optimis dengan kolaborasi yang bakal terjalin dengan Minconsult Sdn. Bhd hari ini.

DSC 9836 DSC 9816

Dalam pada itu, Pengarah Kualiti Minconsult Sdn.Bhd., Dato’ Wan Razali Wan Muda menyatakan bahawa kerjasama antara Minconsult Center of Excellence (MiCOE) dan USM akan membuka peluang kerjasama dalam beberapa aspek, khususnya Pengurusan Sisa, Ekonomi Pekeliling, Simulasi dan Pemodelan Kebakaran, serta Pemodelan Alam Sekitar Bangunan.

“Malah, beberapa perbincangan kumpulan juga telah dijalankan untuk meneroka peluang penyelidikan dan kerjasama dalam mencapai pelepasan sifar air sisa dan penggunaan baja daripada pencernaan anaerobik melalui Projek Biogas di Kampung Valdor, Pulau Pinang,” kata beliau.

“Kami di Minconsult Sdn. Bhd. juga berharap agar kerjasama untuk membangunkan dan menyampaikan program pendidikan dalam bidang ini akan membantu menyediakan generasi jurutera dan saintis dalam menghadapi cabaran dan peluang di masa hadapan,” tambah Razali.

DSC 9884 DSC 9919

Sementara itu, Timbalan Dekan Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa, Profesor Madya Ir. Dr. Mohd Ashraf Mohamad Ismail dalam ucapannya mewakili Dekan PPKA berkata USM menggalas mandat besar untuk melahirkan seramai mungkin bakal jurutera berpotensi.

“Namun, mandat ini tidak dapat dilaksanakan secara bersendirian di mana segala kelebihan dan kekuatan yang ada pada rakan-rakan industri diperlukan bagi merealisasikannya,” kata beliau.

“MoU ini menyatakan hasrat bersama untuk mewujudkan kerjasama dalam meneroka peluang bagi membangun, menyokong dan memperkayakan program penyelidikan, dan latihan dalam bidang yang akan memberi manfaat kepada pihak kedua-dua pihak,” tambah Ashraf.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman