PROGRAM COMMUNITY OF PRACTICE: EMPOWERING ENGINEERING EDUCATOR, RINTIS CABARAN PENDIDIKAN MODEN
Nibong Tebal, 12 Ogos 2024 – Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini meluncurkan inisiatif terbaru “Community of Practice: Empowering Engineering Educator” demi memperkasakan tenaga pengajarnya dalam merintis cabaran pendidikan moden.
Majlis peluncuran yang dirasmikan oleh Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Datin Dr. Azlina Harun @ Kamaruddin ini bertindak sebagai satu platform bagi semua pensyarah kejuruteraan untuk berkongsi pengalaman serta perbincangan dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP).
Ketika berucap, Azlina menekankan pentingnya inisiatif seperti ini dalam memastikan para pensyarah Kampus Kejuruteraan kekal relevan dan sentiasa berdaya saing di era yang dipacu oleh teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
"Tahniah kepada penganjur kerana sesi sebegini adalah penting.
“Dalam menghadapi generasi baharu yang bukan sahaja dipacu teknologi tetapi juga hidup dalam dominasi AI, adalah penting untuk pensyarah sentiasa memperbaiki kaedah pengajaran yang bukan sekadar memberi pengetahuan, malah memberikan inspirasi kepada pelajar," tegas beliau.
Malah, Azlina turut menyeru agar para pensyarah kejuruteraan memaklumi akan pentingnya pembelajaran berterusan sambil memahami bahawa pendidik juga perlu terus belajar untuk mendapatkan ilmu baharu dan memajukan diri dari semasa ke semasa.
“We need to learn, unlearn, and relearn di mana sesi sebegini memberi peluang kepada kita untuk co-learn, seterusnya menimba ilmu dan pengalaman dari rakan-rakan pensyarah yang dijemput khas sebagai penceramah berdasarkan bidang kepakaran masing-masing," kata Azlina.
Di samping itu, beliau turut menekankan bahawa pelajar masa kini memerlukan inspirasi daripada tenaga pengajar dan universiti untuk memastikan pengalaman pembelajaran mereka sepanjang mengikuti pengajian di USM mempunyai nilai yang signifikan.
“Teknik pengajaran yang efektif dan kandungan pelajaran juga penting, dalam menggalakkan mereka untuk menghargai setiap pengalaman pembelajaran yang penuh dengan inspirasi," jelas beliau di hadapan 31 orang pensyarah yang hadir.
“Dalam memastikan pelajar mendapat pengalaman pembelajaran terbaik, para pensyarah perlu memanfaatkan kekuatan penyelidikan, keahlian kerja profesional, dan pengalaman hidup yang boleh digandingkan dengan teknik pengajaran terbaik masing-masing,” tambah Azlina lagi.
“Semoga inisiatif ini akan menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti pengajaran di Kampus Kejuruteraan USM, sekaligus memperkukuhkan kedudukan universiti dalam melahirkan graduan yang kompeten dan berdaya saing di peringkat global,” ujar beliau di akhir ucapan.
Program ini menampilkan Dr. Suhairi Abdul Sata, Profesor Madya Dr. Ahmad Zulfaa Mohamed Kassim serta Profesor Madya Ir. Dr. Syamsul Rizal Abd Shukor selaku penceramah, masing-masing dengan tajuk Tale of the Two Cities Teaching, Building Sustainable Foundations Towards Meaningful Teaching & Learning dan Student Engangement Made Easy: The CANVA Way.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman