Skip to main content

MENGHAYATI SUNNAH DAN KEPIMPINAN RASULULLAH SAW MELALUI MAJLIS SAMBUTAN MAULIDUR RASUL PERINGKAT KAMPUS KEJURUTERAAN USM 2024

 DSC 5848

NIBONG TEBAL, 1 Oktober 2024 - Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini mengadakan Majlis Sambutan Maulidur Rasul bagi memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Dalam ucapan perasmiannya, Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Datin Dr. Azlina Harun @ Kamaruddin, menekankan bahawa ingatan dan kasih sayang kepada Rasulullah SAW bukan sahaja tertumpu pada sambutan Maulidur Rasul, tetapi juga harus dipupuk dalam kehidupan seharian.

“Sebagai umat Rasulullah SAW, kita tidak melalui satu hari pun tanpa ingatan kepada Baginda. Kasih dan ingatan kepada Rasulullah tidak terbatas oleh masa, kerana setiap langkah kehidupan kita dipandu oleh contoh dan sunnah yang telah Baginda tunjukkan,” ujarnya.

Malah, Azlina turut mengingatkan warga kampus tentang kepentingan mencontohi sifat-sifat mulia Rasulullah SAW dalam menjalani kehidupan harian, khususnya dalam bidang pekerjaan melalui sifat jujur dan amanah ketika bekerja.

DSC 5864 DSC 5852

DSC 5806 DSC 5839

“Ianya merupakan nilai yang perlu kita semai dalam setiap tugasan harian memandangkan tanggungjawab dalam pekerjaan adalah sebahagian daripada ibadah, seiring dengan ajaran Islam yang mementingkan integriti dan amanah," kata Azlina.

Sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang menerajui bidang kejuruteraan, Azlina turut menyeru agar warga kampus mengambil contoh kepimpinan Rasulullah SAW yang adil dan berani dalam membuat keputusan demi kebaikan masyarakat.

“Kita perlu tegas dalam menegakkan kebenaran sambil memastikan setiap keputusan serta program yang dilaksanakan memberi manfaat kepada ummah,” kata beliau.

Majlis Sambutan Maulidur Rasul ini diadakan bagi menyemarakkan lagi semangat cinta kepada Rasulullah SAW dalam kalangan warga Kampus Kejuruteraan, di samping memperkukuhkan nilai-nilai murni yang diajarkan Baginda dalam kehidupan seharian.

DSC 5877 DSC 5909

DSC 5852 DSC 5981

Sementara itu, Profesor Ir. Dr. Zainal selaku Pengerusi Jawatankuasa Majlis Sambutan Maulidur Rasul, Peringkat Kampus Kejuruteraan USM bagi tahun 2024 berbesar hati dapat menghadiri majlis yang penuh bermakna itu.

Dalam ucapannya, Zainal menyeru semua pihak untuk bersama-sama membangunkan tenaga kolektif demi memastikan kejayaan seluruh masyarakat.

“Dengan kerjasama dan komitmen, kita dapat mencapai matlamat yang lebih besar untuk kebaikan bersama” katanya.

Zainal juga turut menekankan kepentingan peranan semua individu dalam memupuk nilai-nilai murni dan keharmonian dalam masyarakat.

Turut hadir pada majlis ini adalah Pengarah Tabung Haji Pulau Pinang, Puan Hajah Maznizan Mamat.

Teks: Nurul Athirah Mohd Faizal (Pelajar Latihan Industri) & Siti Faizah Abd Halim