Skip to main content

MALAKOFF-USM KOMITED LAHIRKAN GENERASI BAHARU CELIK TENAGA DAN STEM

IMG 20241107 WA0042

NIBONG TEBAL, 7 November 2024 - Program Eksplorasi Kerjaya ke Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) buka peluang kepada murid sekolah rendah terpilih untuk meneroka pelbagai bidang kerjaya, khususnya dalam kejuruteraan dan tenaga.

Dalam ucapannya, Pengurus Loji Janakuasa Lumut Malakoff Corporation Berhad, Encik Anwar Faisal Mohamed Din, menekankan bahawa program kerjasama dengan USM ini adalah sebahagian daripada usaha syarikat untuk memberi inspirasi kepada generasi muda.

"Melalui Malaysia Energy Literacy Program (MELP), kami mendidik masyarakat mengenai kepentingan literasi tenaga di mana ianya adalah selaras dengan komitmen kami di Lumut Power Plant untuk melahirkan generasi muda yang berilmu dan berdaya saing," katanya.

Menurut beliau, program ini dibiayai melalui peruntukan "Malakoff Edu Fun", satu inisiatif di bawah platform Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Malakoff dalam bidang pendidikan melalui bantuan kewangan, penganjuran program motivasi serta latihan pembangunan kemahiran insaniah dan akademik.

DSC 2646 DSC 2643

 

DSC 2763 DSC 2789

“Program ini juga seiring dengan tagline Malakoff, Enhancing Life. Enriching Communities, yang menekankan komitmen syarikat dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat melalui pelbagai inisiatif pendidikan, pembangunan komuniti, dan kelestarian alam sekitar,” ujar Anwar.

“Selain sekolah angkat Malakoff, sekolah serta murid-murid lain yang terlibat pula adalah yang berada dalam kawasan di mana kami beroperasi, seperti di Lumut, Segari, Mukim Serkat, Pontian dan di Prai, Pulau Pinang,” tambah Anwar.

Sementara itu, Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Datin Dr. Azlina binti Harun @ Kamaruddin, menyatakan bahawa program ini akan membuka peluang kepada murid-murid yang terlibat untuk mengenali bidang kritikal negara, khsusnya yang ditawarkan di USM.

"Kita ingin memupuk minat mereka dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik sejak peringkat sekolah rendah lagi memandangkan ianya adalah satu langkah penting untuk melahirkan pakar yang mampu mengukuhkan keupayaan negara dalam bidang tersebut kelak," ujar beliau.

DSC 2948 DSC 2956 

DSC 2883 DSC 2933

“Semoga lawatan ini telah menjadi satu inspirasi kepada murid-murid dari lima sekolah yang terlibat untuk lebih mendalami bidang STEM sambil melihat peluang-peluang yang boleh di terokai dengan lebih jauh kelak,” kata Azlina.

Lima buah sekolah yang terlibat dalam program kali ini adalah Sekolah Kebangsaan Segari, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Pei Min Segari, Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang Huntly, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Khuen Hean dan Sekolah Kebangsaan Muhammad Saman.

Sepanjang program ini diadakan, seramai 72 orang murid dan 12 orang guru dari sekolah-sekolah yang tersebut di bawa melawat ke Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Pusat Pengajian Bahan dan Sumber Mineral, Pusat Pengajian elektrik dan Elektronik, Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik serta Perpustakaan Kampus Kejuruteraan USM.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman