DARI IJAZAH SARJANA MUDA KE PHD: PASANGAN SUAMI ISTERI RAI KEJAYAAN BERSAMA DI PENTAS KONVOKESYEN USM KE-62
PULAU PINANG, 20 November 2024 – Bermula dari sama-sama menuntut di peringkat ijazah pertama di Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia (PPKK), sepasang suami isteri hari ini sekali lagi sama-sama menamatkan pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) sempena Upacara Konvokesyen Universiti Sains Malaysia ke-62.
Upacara Konvokesyen USM hari ini mencipta detik manis buat pasangan suami isteri, Dr. Meor Muhammad Hafiz Shah Buddin (34) dan Dr. Faiznur Mohd Fuad (34), apabila kedua-duanya berjaya menamatkan pengajian PhD masing-masing dalam bidang Kejuruteraan Kimia.
Berasal dari Shah Alam, Dr. Faiznur memulakan perjalanan akademik beliau di USM pada peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Kimia sebelum menyambung pengajian dalam bidang yang sama pada peringkat sarjana dan bergraduasi pada tahun 2016.
Suami beliau, Dr. Meor Muhammad Hafiz, juga merupakan graduan Kejuruteraan Kimia USM pada tahun 2013 yang berjaya menamatkan pengajian peringkat sarjana pada tahun 2015 di bawah seliaan Profesor Ir. Dr. Abdul Latif Ahmad.
Menurut Dr. Meor, cabaran terbesar yang dihadapi sepanjang pengajian PhD beliau, adalah ketika terjadinya pandemik COVID-19, yang memberi kesan kepada kelajuan dan kemajuan penyelidikannya, namun, kesukaran tersebut dapat diatasi dengan menjadikan keluarga sebagai sumber motivasi.
Malah, Dr. Faiznur turut berkongsi pengalaman beliau dalam mengimbangi tanggungjawab sebagai pelajar, isteri, dan ibu yang mana pengurusan masa yang baik sangat penting sambil memfokuskan kepada perkara-perkara yang perlu diutamakan sepanjang tempoh tersebut.
Selain daripada itu, pasangan ini juga mengakui bahawa sokongan daripada penyelia dan rakan-rakan di makmal PPKK berperanan besar dalam kejayaan mereka.
“Apatah lagi, USM, selaku universiti telah menyediakan fasiliti penyelidikan yang sangat lengkap dan suasana pembelajaran antara pelajar dan penyelia juga saling tak ubah seperti sebuah keluarga,” kata Dr. Meor.
Semasa ditemubual, Dr. Meor sempat menyatakan ucapan penghargaan beliau kepada Profesor Ir. Dr. Abdul Latif Ahmad atas bimbingannya sebagai penyelia, manakala Dr. Faiznur turut menyatakan rasa syukur atas sokongan penuh daripada penyelianya, Dr. Masrina Binti Mohd Nadzir sepanjang pengajian.
Sebelum mengakhiri temubual, Dr. Meor sempat menasihatkan mereka yang bercadang untuk menyambung pengajian ke peringkat PhD agar bersedia untuk berkorban dan menghadapi cabaran dengan sabar.
“Kita perlu sedar bahawa doa dan rasa bersyukur adalah penting untuk mewujudkan peluang serta kejayaan dalam setiap perjalanan hidup ini,” tegas beliau.
Ketika diminta mengulas tentang pencapaian pelajar seliaan beliau, Profesor Ir. Dr. Abdul Latif Ahmad menyifatkan pasangan ini sebagai contoh teladan, yang membuktikan bahawa komitmen terhadap keluarga dan pelajaran boleh berjalan seiring.
“Mereka adalah bukti bahawa disiplin, dedikasi, dan sokongan padu daripada insan tersayang, mampu menjadi dorongan untuk kita sama-sama mengimbangi tuntutan kehidupan peribadi dan profesional dengan cemerlang,” ujarnya.
Ibu dan bapa kepada seorang cahaya mata perempuan ini sedang sama-sama berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Kimia, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam.
Teks: Siti Faizah Abd Halim dan Muiz Syafiq Md Hassam (Pelajar Latihan Industri) / Foto: Mohd Kamil Ashar