Skip to main content

749 GRADUAN KEJURUTERAAN TAMAT PENGAJIAN, DIRAIKAN SEMPENA UPACARA KONVOKESYEN USM KE-62

DSC 3585

PULAU PINANG, 24 November 2024 – Seramai 749 graduan kejuruteraan diraikan dalam Sidang 10 Upacara Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (USM) ke-62 yang berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra di sini hari ini.

Graduan yang bergraduasi merupakan mereka dari enam pusat pengajian iaitu Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, serta Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik.

Pengarah Kampus Kejuruteraan Profesor Datin. Dr. Azlina Harun @ Kamaruddin, ketika ditemui mengucapkan tahniah kepada semua graduan kejuruteraan dan beliau turut berbangga atas kejayaan mereka menamatkan pengajian pada konvokesyen kali ini.

DSC 3576 DSC 3592

DSC 3585 DSC 4313

DSC 3602 DSC 3944

“Alumni yang saya kasihi, pada setiap peringkat kehidupan anda, teruskan melangkah ke hadapan, ibarat apabila anda tiba di puncak sebuah gunung, akan ada puncak lain yang menanti untuk didaki, ianya merupakan satu simbolik kepada perjalanan kita yang tidak akan pernah berhenti,” ujar beliau.

“Dalam usaha mencapai kejayaan, janganlah kita lupa untuk sentiasa merendah diri dan percayalah bahawa kehidupan anda adalah sebuah cerita yang anda tulis sendiri. Oleh itu, tulislah dengan baik dan perbaikilah ia dari semasa ke semasa,”

“Yang paling penting, walau apa pun cabaran yang mendatang, temukan kekuatan dan ketabahan dalam diri anda, semoga anda semua akan berjaya dalam setiap langkah yang anda ambil,” nasihat Azlina.

Sementara itu, beliau turut berharap agar para graduan bersedia, kerana para majikan di luar sana sedang menanti sumbangan dan bakat mereka sebagai jurutera dalam pelbagai bidang kejuruteraan ini.

DSC 4152 DSC 4164

DSC 4251 DSC 4387

DSC 4621 DSC 4672

 

“Ingatlah juga bahawa kejayaan sebenar bukan hanya diukur melalui pencapaian peribadi anda sebagai individu, tetapi juga impak yang akan diwujudkan dalam kalangan masyarakat dan persekitaran anda selepas ini,” kata Azlina.

“Saya juga ingin menekankan betapa pentingnya etika dan integriti dalam anda membina kerjaya kelak di mana kedua-duanya adalah tunjang kepada kejayaan jangka panjang dalam mana-mana bidang kerjaya profesional,”

“Oleh itu, sentiasalah dijadikan pegangan kerana ia adalah cerminan kepada kredibiliti diri serta komitmen masing-masing tentang nilai tanggungjawab itu sendiri,” tambah Azlina.

Sidang ke-10 hari ini adalah sebahagian daripada 15 sidang sempena upacara  konvokesyen USM ke-62 yang berlangsung pada 19 November hingga 26 November 2024 di mana cecara keseluruhan, 8,971 orang graduan diraikan.