PROJEK PEMBANGUNAN USM - KAMPUS KEJURUTERAAN TERIMA KUNJUNGAN DARI KEMENTERIAN EKONOMI DAN KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI
NIBONG TEBAL, 12 Disember 2024 – Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menerima kunjungan dari Kementerian Ekonomi (KE) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang diketuai oleh Timbalan Pengarah (Pendidikan) Kementerian Ekonomi, Datin Dr. Syahira Hamidon.
Kunjungan ini disambut dengan sesi taklimat ringkas berkenaan Projek Pembangunan Kampus Kejuruteraan yang dibentangkan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti (Kejuruteraan), Ir. Mohd Nizam Mohd Razak.
Kehadiran rombongan dari kedua-dua kementerian ini disambut oleh wakil Pengarah Kampus, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha yang juga merupakan Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral.
Dalam sesi kunjungan ini, rombongan turut dibawa melawat ke Makmal Alatan (XRD) di Pusat Penyelidikan Sains Kejuruteraan (SERC), Makmal Alatan di Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia serta Tangki Air Kampus Kejuruteraan, yang mana ianya merupakan projek-projek di bawah peruntukan Rancangan Malaysia ke Dua Belas (RMK12) yang bermula dengan Rolling Plan Pertama (RP1) pada tahun 2021 dan berakhir pada tahun 2025 dengan Rolling Plan Kelima (RP5).
Perbincangan juga merangkumi perancangan USM untuk permohonan peruntukan kepada KE dan KPT bagi projek-projek di bawah peruntukan Rancangan Malaysia ke Tiga Belas (RMK13) yang akan memasuki fasa Rolling Plan 1 (RP1) pada tahun 2026 hingga Rolling Plan 5 (RP5) pada tahun 2030.
Sesi kunjungan ini merupakan sebahagian daripada Mesyuarat Halatuju USM Sebagai Universiti Penyelidikan Berfokuskan STEM dan Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) Berkonsepkan The 3rd Age University dan Lawatan Projek Pembangunan USM yang telah diadakan pada sebelah paginya di Kampus Induk.
Turut hadir adalah Ketua Penolong Pengarah Kementerian Ekonomi, Dr. Azlan Shah Abd Latif; Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Pembangunan KPT, Suriati Samsudin dan Pengarah Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti USM, Ts. Arman Abdul Razak.
Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman